Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ANALISIS | PRN seri 3-3 jika pengundi luar kawasan tak buat kejutan

ANALISIS | Enam pilihan raya negeri (PRN) berkemungkinan akan menyaksikan keputusan seri untuk Pakatan Harapan-BN dan Perikatan Nasional, dengan setiap pakatan memenangi tiga negeri sama yang ditadbir sebelum ini.

Kedua-dua gabungan utama yang bertanding dalam PRN berharap untuk menawan sekurang-kurangnya satu negeri tambahan. Dengna PH-BN menyasarkan Kedah, dan PN menyasarkan Selangor.

Walau bagaimanapun, kempen kedua-duanya nampaknya tidak menunjukkan isyarat yang ketara.

Namun, faktor yang mungkin mengubah keputusan yang memihak kepada PH-BN ialah pengundi luar kawasan - yang sentimennya masih tidak dapat diramalkan.

Bagi PH-BN, kerjasama dan usaha mereka sebagai kerajaan persekutuan nampaknya memberi kesan kecil kepada pengundi yang tinggal di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tinjauan Ilham Center pada Julai lalu menunjukkan majoriti pengundi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu tidak cenderung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tinjauan yang sama menunjukkan bahawa hanya satu daripada empat orang Melayu berpuas hati dengan prestasi perdana menteri itu.

Perbualan Malaysiakini dengan lebih 70 pengundi di seluruh Kedah nampaknya menunjukkan bahawa kebanyakan pengundi telah membuat keputusan, dan akan berpegang kepada pilihan yang mereka buat pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pada masa yang sama, terdapat tanda-tanda bahawa sebilangan besar mereka yang mengundi BN tahun lepas, mungkin sama ada tidak mengundi atau beralih kepada PN.

Rasa tidak puas hati terhadap BN ini nampaknya merupakan gabungan rasa tidak senang dengan kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta rasa tidak puas hati terhadap kerajaan secara amnya.

PN masih dominan di Kedah, K’tan, T’ganu

Di Kedah, menteri besar sementara Muhammad Sanusi Md Nor juga menjadi cabaran utama kepada PH dan BN.

Sanusi meraih sokongan yang begitu kuat di Kedah sehinggakan ada pengundi di negeri itu yang akan mengundi PN kerana mahu Sanusi kembali memegang jawatan menteri besar.

Pada masa ini, PH-BN dilihat berisiko kehilangan kerusi dan memenangi lebih sedikit kerusi berbanding potensi menawan negeri itu.


Laporan berkaitan: Faktor Sanusi pacu PN, PH-BN berisiko hilang 7 kerusi di Kedah


Di Kelantan, PH-BN dijangka memberi cabaran sengit di beberapa kerusi, seperti Kota Lama, Wakaf Bharu, Pulai Chondong, Temangan, Kemuning, Galas, Nenggiri, dan Paloh.

Bagaimanapun, harapan terbaik gabungan itu ialah menghalang PN daripada menang semua kerusi di Kelantan seperti yang berlaku pada PRU15.

Keadaan itu nampaknya sama di Terengganu, dengan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli - pakar strategi utama PH - dilaporkan mengakui bahawa PN masih mendahului.

“Di Terengganu pada pandangan saya, PN masih mendahului kita, dan saya mengakui ini secara terbuka,” katanya pada ceramah di Telok Ayer Tawar, Pulau Pinang pada Ahad.

Sebarang peluang untuk gabungan Madani memintas PN di Kelantan kemungkinan terletak pada pengundi luar kawasan - terutamanya pengundi atas pagar yang tinggal di negeri PH-BN.

Jika 20 peratus daripada pengundi atas pagar ini - yang sebelum ini mengundi PN - beralih kepada PH-BN, terdapat peluang untuk gabungan itu menang di Kedah, pada masa sama meraih kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Taktik gesa pengundi keluar mengundi

Untuk menggalakkan kehadiran penyokong luar dan pengundi atas pagar, PH menggunakan taktik menakutkan pengundi.

Sama seperti PN yang memainkan sentimen Melayu-Islam dikatakan berada di bawah ancaman, PH juga menggunakan taktik yang hampir sama.

DAP Pulau Pinang misalnya, telah mendakwa bahawa 20 peratus pengundi Cina di negeri itu mungkin beralih kepada PN, tidak mengundi, atau merosakkan undi mereka.

Sementara itu, pengundi juga ditakutkan dengan kemungkinan orang bukan Islam akan kehilangan kebebasan peribadi seperti boleh memakai seluar pendek jika PN berkuasa.

Malah Anwar pernah terlibat dalam retorik sedemikian.

Dalam program bersama pelajar matrikulasi, Anwar menimbulkan kontroversinya susulan jawapannya terhadap soalan yang diajukan pelajar bukan Melayu yang mahukan kuota pendidikan digantikan dengan sistem meritokrasi.

Anwar berkata, penghapusan kuota pendidikan akan menyebabkan PH dan BN kalah dalam semua pilihan raya.

“Kalau saya nak puas kan hati awak, hari ini Anwar kata tamatkan sistem kuota, kami akan kalah semua pilihan raya di negara ini dan anda akan lebih menderita di negara ini. Itu kena faham.

"(Negara akan) diperintah PAS dan Bersatu, kena faham. Tapi, janganlah umpanya nak suruh batal sistem kuota ini. Akan berlaku pergolakan dalam negara…ini persefahaman dibuat sejak sekian lama,” katanya seperti dilapor media pada 5 Ogos.

Sementara itu, Anwar juga memberi amaran bahawa jika pengundi di Selangor "salah mengundi" maka negeri itu mungkin akan jadi seperti Kedah atau Kelantan.

Sama ada taktik menakutkan itu akan berkesan untuk PH dan BN masih belum dapat dilihat.

Walau bagaimanapun, ia menghadapi risiko meminggirkan pengundi di negeri yang dikuasai PN.

“Rasa marah sebab mana boleh bandingkan dengan negeri negeri tu sebab kat Kedah ni banyak dah tempat yang dah maju sekarang," kata Muhamad Abid Najimi Ahmad, seorang pengundi Kedah berusia 19 tahun.

Di sebalik taktik menakut-nakutkan, kerajaan Madani juga nampaknya mengambil langkah untuk memenangi pengundi Melayu konservatif.

Antara lain, ini termasuk peningkatan subsidi untuk pesawah, serta langkah Kementerian Dalam Negeri mengharamkan jam tangan Swatch yang mengandungi unsur LGBT.

Gelombang PN melimpah ke Selangor

Sementara itu, kempen PN di Selangor kelihatan lebih baik daripada PH-BN di Kedah.

Di timur laut negeri ini, PN nampaknya membuat kehadiran yang ketara di kawasan pantai dari Sabak Bernam ke Tanjong Karang dan telah menjadikannya tumpuan kempen.

Lima kerusi PH-BN di kawasan ini berisiko ditawan PN iaitu Sungai Air Tawar, Sabak, Sungai Panjang, Sungai Burung, dan Permatang.

PN juga dilihat aktif di Kuala Selangor, dengan kemungkinan memenangi semula kerusi Jeram.

Sumber dalam PH pula menyatakan kebimbangan mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi Bukit Melawati dan Ijok.

Kerusi lain PN dijangka memberi saingan sengit di Selangor termasuk Kuang di bawah parlimen Selayang, Sungai Ramal di Bangi, Selat Klang di Kapar, serta Sijangkang dan Morib di Kuala Langat.

Kerusi majoriti Melayu yang lain juga akan menyaksikan saingan sengit.

Walau bagaimanapun, di beberapa kawasan, ia tidak berjalan lancar.

Ini terutamanya di Gombak, kerusi yang ditandingi bekas menteri besar Selangor Azmin Ali dan pembantunya Hilman Idham masing-masing di Hulu Kelang dan Gombak Setia.

Jentera PAS tempatan di sana dilaporkan kecewa kerana dua kerusi itu diberikan kepada Bersatu untuk bertanding, dan mereka dilhat tidak berusaha keras untuk menggerakkan penyokong untuk kempen Azmin dan Hilman.


Laporan berkaitan: Pertarungan getir Azmin melawan Juwairiya di Hulu Kelang


Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata bahawa gabungan itu tidak mendedahkan siapa calon menteri besar Selangor mereka kerana dibimbangi kalah.

Sementara itu, PN juga sedang berhadapan dengan konflik dalaman di Batang Kali, dengan bahagian Bersatu Hulu Selangor menolak pilihan calon parti itu.

Terdapat juga rasa kurang senang di kalangan akar umbi PN tempatan di Bukit Malawati kerana calon gabungan itu adalah bekas ketua Pemuda Umno yang baru menyertai PN.

Berdasarkan situasi semasa, PN mungkin akan memenangi sekitar 10 hingga 15 kerusi di Selangor.

Ini adalah peningkatan daripada lima kerusi yang dimiliki PN di Selangor, dengan empat daripadanya dimenangi ketika Bersatu menjadi sebahagian daripada PH pada 2018.

Walaupun PN dijangka mengurangkan jumlah keseluruhan kerusi yang dikuasai PH dan BN di negeri itu, kemungkinan besar ia tidak akan mencukupi untuk menafikan penguasaan gabungan Madani di Selangor.

PN kalah semua kerusi di Negeri Sembilan?

Di Negeri Sembilan, jika corak pengundian PRU ke-15 berterusan, PH dan BN boleh menyapu bersih negeri itu.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kerusi untuk PN tampil sebagai pemenang, meski dengan peluang yang tipis.

Salah satu daripada kerusi ini ialah Jeram Padang - kerusi campuran dengan lebih 30 peratus pengundi adalah India.

Secara tradisinya, BN diwakili oleh MIC di kawasan itu, tetapi dengan MIC tidak menyertai PRN, seorang calon Umno telah diletakkan untuk mempertahankan kerusi itu.

PN pula meletakkan bekas ahli MIC, Surash Sreenivasan, yang sebelum ini menduduki tempat kedua ketika bertanding sebagai calon bebas pada 2018 di kerusi berkenaan.

MIC telah menyaksikan ahli dan pemimpinnya berpaling tadah kepada PN, yang mungkin memberi manfaat kepada Surash dan membantu meningkatkan bahagian undi pembangkang di kawasan itu daripada 21 peratus yang diterimanya pada PRU15.

Saingan di kerusi Melayu di Pulau Pinang

Di utara Pulau Pinang, pertelingkahan antara Gerakan dan PAS merencatkan kempen PN sedikit sebanyak. Namun gabungan itu masih dijangka akan menembusi negeri itu.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bahawa tiga kerusi majoriti Melayu di Balik Pulau akan menyaksikan pertarungan sengit dengan pemenang hanya meraih majoriti tipis.

Menurut Chow ini termasuk Bayan Lepas, kerusi yang ditandingi Presiden Gerakan Dominic Lau.

Kempen Lau tidak berjalan lancar, dengan PAS tempatan meminggirkannya.

Walaupun kepimpinan PAS pusat telah mengeluarkan arahan untuk membantu Gerakan, sama ada ia akan mendorong penyokong PAS Bayan Lepas untuk keluar mengundi atau tidak masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, PN juga dijangka meraih kemenangan di kerusi majoriti Melayu di kawasan Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.

Satu lagi faktor yang mungkin menguntungkan PN ialah perbalahan di kalangan DAP Pulau Pinang, terutamanya selepas P Ramasamy dan pengikutnya digugurkan sebagai calon.

Dua daripada rakan rapat Ramasamy bertanding sebagai calon bebas di kerusi DAP.

Faktor Muda-PSM

Bagi Muda dan PSM, kedua-dua parti itu berkemungkinan akan menjadi mangsa sistem first-past-the-post (pemenang undi terbanyak).

Dengan pengundi terpaksa membuat pilihan strategik, Muda dan PSM - yang kebanyakannya bertanding di kerusi PH - tidak mungkin meraih sebarang kemenangan jika pengundi bertekad untuk menghalang PN.

Sebaliknya cabaran utama bagi kedua-dua parti itu ialah sama ada mereka boleh mengekalkan deposit pertandingan atau tidak.

Kedua-dua parti nampaknya tidak mendapat respons yang kuat terhadap usaha kempen dan ceramahnya.

Bagaimanapun, Muda sekurang-kurangnya, dilihat meletakkan sumber yang besar dalam kempen media di media sosial, dan juga slot iklan di stesen radio bandar BFM.

Pengundian untuk enam negeri akan diadakan Sabtu ini.


Laporan oleh B Nantha Kumar, Cha Zhi Ting, Hariz Mohd, Haspaizi Zain, Hoi Jia Xuan, Isabelle Leong, Low Choon Chyuan, Nadjwatul Huda Mohd Zuraidi, Noor Faizal Ghazali, Raveena Nagotra, Wang Ping, Yap Si Err, Zikri Kamarulzaman.


BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?


Lihat Komen
ADS