Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Mesej Hadi memang pahit, tapi cuma buat yang dipandu nafsu’
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 1:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Setiausaha politik presiden PAS Syahir Sulaiman mempertahankan mesej-mesej Abdul Hadi Awang melalui siri tulisannya.

Menjawab kritikan rakan sejawatnya di pihak Presiden PKR Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim, Syahir mengakui mesej-mesej Hadi memang “pahit umpama hempedu”. 

Bagaimanapun, tanpa menghuraikan lanjut, katanya, ia cuma dirasai “golongan tertentu, khususnya yang tenggelam dipandu nafsu”.

“Namun ada kalanya 'manis umpama madu' kepada mereka yang terbuka hatinya untuk terus dipandu wahyu,” katanya.

Memetik sepotong ayat al-Quran, dia menegaskan tugas untuk menyampaikan “risalah” (pesan-pesan yang terangkum dalam ajaran Islam).

“Risalah yang terkandung dalamnya berita gembira, peringatan, mahupun amaran kepada hati-hati yang terbuka, walaupun mungkin ada hati-hati yang terluka,” katanya.

Muhammad Kamil (kiri) dan Hadi

Muhammad Kamil hari ini mengkritik siri tulisan “Minda Presiden” Hadi yang menurutnya hanya membawa mesej “benci, benci dan terus membenci”.

Dia berkata demikian ketika mengulas tulisan yang mendakwa bahawa Umno dan Amanah, parti serpihan PAS, menjadi “gurkha DAP”.

Ini bukan kali pertama Hadi mencetuskan kontroversi melalui tulisannya. 

Beberapa hari lepas dia mengkritik bapa sastera Melayu moden Munshi Abdullah sebagai “khadam penjajah”.

Hadi juga sebelum ini mencetuskan kemarahan pengkritik dengan mengaitkan orang bukan Islam dengan gejala rasuah.

Dalam kenyataan hari ini, Syahir mempertahankan tulisan Hadi sebagai membangkitkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan umat Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS