Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Moga Allah tuntun minda presiden PAS untuk semai kasih sayang'
Diterbitkan:  Aug 25, 2023 8:44 AM
Dikemaskini: 12:44 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang diminta lebih mencurahkan kasih sayang dan penuh rasa tanggungjawab ketika memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada masyarakat Melayu Muslim di negara ini.

Setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sebagai pemimpin adalah menjadi lumrah dunia apabila terdapat pihak yang tidak sehaluan.

"Minda presiden yang tidak pernah mengecewakan. Mesejnya jelas; benci, benci dan terus membenci.

"Moga Allah tuntun minda presiden untuk lebih rajin menyemai benih kasih sayang, hormat menghormati, tidak prejudis dan kritikan yang membina," katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata demikian ketika mengulas tulisan Abdul Hadi dalam ruangan 'minda Presiden' oleh yang mendakwa bahawa Umno dan parti Amanah menjadi “gurkha DAP”.

Hadi yang juga ahli parlimen Marang menerusi tulisan yang disiarkan di Facebooknya, mendakwa Amanah dan Umno kini menjadi laksana askar gurkha dengan menggunakan senjata tiruan yang berjenama Islam untuk menjadi benteng pertahanannya kepada DAP.

Katanya, DAP masih lagi berpegang teguh dan tetap berjuang mengikut perlembagaan partinya, malah tetap menegaskan dan terus mempertahankan prinsip sekularisme.

"Maka, pentafsiran Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah mengikut ilmu DAP iaitu dengan mengekalkan Islam pada kedudukan yang rendah mengikut kedudukan yang diletakkan oleh penjajah dahulu.

"Bukan itu sahaja, DAP juga terus memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang memperkecilkan ketuanan asal Melayu Islam dan bumiputera yang memiliki tanah air ini.

"Tujuannya untuk memberikan ketuanan yang sama kepada warga asing mengikut agenda penjajah dahulu yang bertujuan melemahkan kedudukan Islam dan Melayu yang menganutnya," kata Hadi.

Istilah Gurkha merujuk kepada askar yang berasal dari Nepal yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran British di negara ini.

Kaum ini terkenal dengan sikap tahan lasak dan sangat berani, serta patuh mengikut arahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS