Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid lepas: Asas moral Anwar sejak 1998 hilang - penganalisis

Penarikan balik kesemua 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi telah mencalar imej Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin antirasuah, kata penganalisis politik Wong Chin Huat.

Wong berkata bermula September 1998, iaitu 25 tahun lalu, Anwar dilihat sebagai juara antirasuah sehingga sanggup dilucutkan jawatan sebagai perdana menteri.

"Tetapi dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melepaskan Ahmad Zahid, Anwar jelas telah kehilangan 'moral capital' beliau yang bertimbun selama 25 tahun ini.

"Sekarang beliau dilihat untuk kesinambungan kuasa politiknya, sanggup menggunakan pengaruh ke atas AGC untuk membebaskan timbalannya," katanya dalam temubual bersama KiniTV dua hari lalu.

Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi susulan permohonan yang dibuat pihak pendakwaan.

Keputusan itu dibuat walaupun hakim Collin Lawrence Sequerah mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan prima facie terhadap presiden Umno itu, yang telah diarah untuk membela diri.

Ia membangkitkan kecaman pelbagai pihak, antaranya Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mempersoalkan jika permohonan dibuat atas arahan pihak atasan kerajaan, serta Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengancam untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan jika tiada penjelasan diberikan.

AGC kemudian dalam kenyataan ringkasnya berkata bahawa DNAA yang diberikan kepada Zahid adalah berdasarkan alasan yang kukuh.

Anwar pula menegaskan dia tidak campur tangan dalam soal itu dan berkata peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes tersebut.

Anwar juga berkata ia tidak menjejaskan kredibiliti kerajaan dan dia tetap dengan pendiriannya yang keras membanteras rasuah.

Wong Chin Huat

Mengulas lanjut, Wong berkata pertikaian tidak akan timbul jika Ahmad Zahid dibebaskan atas keputusan hakim perbicaraan.

Dia berkata jika hakim yang membuat keputusan itu, tiada pihak yang boleh mendakwa wujudnya campur tangan Anwar.

"Apabila keputusan dibuat oleh peguam negara yang tak bebas daripada politik, maka suka atau tidak kerajaan pimpinan Anwar tidak dapat membersihkan nama (daripada tanggapan) sebagai pembebas Ahmad Zahid," kata pensyarah Universiti Sunway itu lagi.

Azmi Hassan

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Dr Azmi Hassan berkata Anwar pastinya menjadi sasaran kritikan namun perkara itu juga boleh mengukuhkan lagi sokongan ahli Umno kepada PH.

"Memang isu ini akan digunakan dalam PRK Simpang Jeram dan Pulai kerana tuduhannya ialah kerajaan atau perdana menteri campur tangan untuk gugurkan kes Ahma Zahid.

"Tapi jika lihat pada PRN sebelum ini, ahli dan penyokong Umno masih was-was dan tak mahu mengundi calon PH walaupun calon itu bukan dari DAP," katanya.

Namun, katanya lagi, perkara itu mungkin akan berubah dalam dua PRK tersebut dengan perkembangan ini.

Lihat Komen
ADS