Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara IPIC terhadap Najib, Irwan bermula tahun depan

Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam kes pecah amanah (CBT) IPIC bernilai RM6.6 bilion akan mula dibicarakan  dalam tempoh dua bulan bermula Jun 2024.

Semasa sebutan kes hari ini, timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh perbicaraan.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata bahawa dia menerima sebarang tarikh seawal Januari kecuali terdapat pertembungan dengan perbicaraan 1MDB yang sedang dijalankan terhadap anak guamnya.

Peguam K Kumarendran, yang mewakili Irwan, juga meminta tarikh awal, dengan berhujah bahawa kes yang bermula pada 2018 itu adalah antara yang paling lama dalam sejarah mahkamah.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua peguam, Hashim memohon tarikh perbicaraan bermula pada Mei tetapi Jamil akhirnya menetapkan 13 tarikh pada Jun dan 17 hari lagi pada Julai tahun depan.

Kedua-dua Najib dan Irwan hadir di mahkamah hari ini.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pihak pendakwaan memaklumkan berkenaan status representasi yang dikemukakan Najib dan Irwan untuk menggugurkan enam pertuduhan yang dihadapi mereka. 

Bagaimanapun, sepanjang prosiding yang berjalan kurang 30 minit itu tiada mana-mana pihak menyentuh mengenai representasi yang dihantar oleh Najib dan Irwan sebelum ini.

[Baca berita penuh]

Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC). 

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memohon perbicaraan itu bermula pada Julai tahun depan manakala peguam K Kumaraendran yang mewakili Irwan mahu tarikh perbicaraan awal pada Januari 2024 memandangkan kes itu telah memberi kesan kepada anak guamnya selama hampir lima tahun dan menyebabkan tekanan psikologi. 

“Saya juga mahu mahkamah mempertimbangkan kesannya kepada anak guam saya. Beliau tidak dapat meninggalkan negara ini atau mengembangkan kerjayanya kerana pertuduhan ini,” kata Kumaraendran.

Selain itu, Shafee turut membangkitkan isu memo dalaman setebal 12 muka surat yang dikatakan dihantar oleh Ketua Pendakwa Raya dalam kes tersebut, Jamil Aripin kepada Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu.

“Ini telah menjadi perkara awam kerana ia (memo) berada dalam domain awam. Dalam dokumen itu, sepasukan tujuh pendakwa raya (DPP) dan lima pegawai penyiasat sebulat suara memutuskan bahawa kelima-lima pertuduhan itu tidak memenuhi syarat minimum untuk pertuduhan CBT (pecah amanah) dibawa ke mahkamah dan bagi mendapatkan kes prima facie terhadap mereka (Najib dan Irwan).

“Itu adalah pendapat yang sangat mendukacitakan bagi pihak pendakwaan untuk pergi lebih jauh. Untuk membuktikan pembelaan kami, kami meminta DPP mengambil pendirian sama ada dokumen yang bocor ini adalah benar, wujud dan tulen,” katanya sambil menambah memo itu relevan kerana pembelaan Najib adalah kes penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan politik terutamanya apabila Thomas sendiri berkata beliau adalah lantikan politik.

Bagaimanapun, Kumaraendran berkata mahkamah bukanlah forum yang betul untuk membangkitkan isu memo yang didakwa bocor itu.

Pada masa ini, Saifuddin turut berkata bahawa beliau tidak mempunyai komen mengenai memo yang bocor itu.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Shafee berkata beliau akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengingatkan mereka mengenai representasi yang difailkan Najib.

“Perbicaraan telah ditetapkan pada Jun dan Julai… Representasi yang dihantar oleh kedua-dua pihak masih belum mendapat jawapan setakat ini,” katanya.

Shafee seterusnya menyatakan mereka akan memanggil Thomas untuk memberi keterangan dalam kes itu untuk menyokong pembelaannya.

Lihat Komen
ADS