Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhlina tegur ahli parlimen 'merengek-rengek' dalam dewan
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 4:58 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

PARLIMEN | Fadhlina Sidek hari ini menempelak ahli parlimen tertentu yang dianggap gemar "merengek-rengek" membuat dakwaan semberono di dalam Dewan Rakyat.

Tanpa memetik sebarang nama atau pengenalan menteri pendidikan itu menegaskan kerajaan tidak ada menghentikan sebarang projek berkaitan kepentingan rakyat.

Mengakui di sesetengah tempat berlaku kelewatan pembangunan, Fadhlina berkata dalam keadaan begitu pun tidak ada projek yang dihentikan.

"Kalau nak jadi yang berhormat (mesti) bertanggungjawab... masuk dewan kena pastikan fakta (yang disebutkan itu) betul.

"Jangan masuk dewan merengek-rengeh bagitau (maklumat) hearsay (khabar angin)," katanya semasa menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Ahli Parlimen Nibong Tebal itu sebarang kenyataan yang dibuat di Dewan Rakyat sepatutnya dipastikan betul dan bukannya berdasarkan khabar-khabar angin,

"Jadi tidak perlu menggunakan [...] perkataan-perkataan merengek-rengek dan hearsay," katanya lagi.

"Ini tidak boleh berlaku dalam dewan yang mulia ini," katanya lagi.

Sementara itu kenyataan tersebut dipercayai ditujukan kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muda) yang kini menjadi sebahagian daripada pembangkang.

Syed Saddiq mendakwa ada ura-ura kerajaan mahu menyekat atau menghentikan projek pembinaan empat dewan baru di sekolah kawasan Muar.

Dakwa bekas menteri belia dan sukan itu projek tersebut sudah diluluskan beberapa bulan lalu namun keputusan sebaliknya diambil apabila dia menarik balik sokongan daripada kerajaan pusat.

Kata Syed Saddiq dia mendapat pengesahan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri

Berlaku sedikit kekecohan dan ia mendorong Syed Saddiq membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu melibatkan tindakan seseorang ahli parlimen membuat sangkaan jahat terhadap ahli parlimen lain.

Bagaimanapun keadaan reda selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Md Nor meminta Fadhlina meneruskan penggulungan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS