Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahanan Sosma alami trauma psikologi dan kewangan - Suaram
Diterbitkan:  Sep 27, 2023 2:47 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Ssoma) OSMA) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dan ahli keluarga mereka mengalami trauma psikologi dan kewangan semasa dalam tahanan dan selepas mereka dibebaskan, kata Suaram hari ini.

Ini adalah antara penemuan laporan kumpulan hak asasi manusia itu yang dinamakan 'Kesan Sosioekonomi Tahanan Sosma di Malaysia' yang dilancarkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.

Laporan itu menemu bual tiga bekas tahanan Sosma yang kemudiannya disabitkan di bawah Kanun Keseksaan, dua yang ditahan di bawah Sosma dan kemudian dibebaskan, keluarga tiga tahanan semasa, dan keluarga bekas tahanan.

Temu bual dijalankan oleh penyelidik bebas Siti Nurizzah Mohd Tazali antara Ogos dan September tahun ini, melalui telefon dan secara peribadi, dengan persetujuan orang yang ditemu bual. Input untuk laporan itu juga diperolehi daripada mesyuarat sebelum ini yang diadakan dengan 120 individu yang terjejas oleh Sosma, yang memperuntukkan penahanan tanpa bicara.

Hilang pekerjaan

Bercakap pada majlis pelancaran hari ini, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata majoriti tahanan Sosma mengalami masalah penurunan drastik dalam tahap pendapatan mereka.

Ramai yang akhirnya kehilangan pekerjaan mereka selepas ditahan, dan mendapati sukar untuk mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan.

Sevan Doraisamy, Pengarah Eksekutif Suaram

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada tahanan, yang kebanyakannya adalah daripada kumpulan B40 (berpendapatan rendah), tetapi keluarga mereka juga terpaksa menanggung beban kewangan tambahan dengan ketiadaan mereka yang ditahan itu.

“Ini termasuk kos lawatan ke pusat tahanan yang mencecah RM1,000 sebulan dan yuran guaman yang boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit yang pastinya merumitkan lagi keadaan kewangan mereka,” katanya.

Perpecahan keluarga

Penahanan Sosma juga membawa kepada perpecahan keluarga, dan memberi kesan psikologi kepada pasangan dan anak-anak tahanan, tambahnya.

“Majoritinya mengalami tekanan dan ketidakstabilan emosi akibat penahanan tahanan.

"Mereka menunjukkan gejala seperti enggan ke sekolah, sukar tidur dan kesusahan emosi yang menyebabkan mereka keciciran, alami kesulitan dalam pembelajaran dan kebimbangan akibat persepsi negatif rakan sebaya yang jelas mengganggu perkembangan pendidikan dan psikososial kanak-kanak," kata Sevan.

,"Ini secara langsung diterjemahkan kepada penurunan dalam gred mereka, dan ramai yang terpaksa tidak hadir, kerana takut dihina dan diusik oleh rakan sebaya mereka," kata Sevan.

Cadangan penambaikan

Dia seterusnya mencadangkan beberapa cara untuk memperbaiki dan memperbetulkan keadaan, termasuk membenarkan tahanan akses awal kepada peguam, boleh diikat jamin, mempercepatkan tarikh perdengaran mereka, dan menyediakan mekanisme sokongan kepada tahanan serta keluarga mereka semasa tahanan dan selepas dibebaskan.

“Perlu ada pendidikan dan latihan kemahiran untuk tahanan, dan bantuan kewangan kepada mereka selepas dibebaskan supaya mereka boleh berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

"Terutamanya, perlu ada sistem sokongan untuk ibu tunggal yang terpaksa memikul beban selepas suami mereka ditahan," kata Sevan.

Menurutnya, kerajaan mesti mengambil perhatian terhadap cadangan itu dan mengusahakan semakan yang amat diperlukan terhadap undang-undang kontroversi berkenaan.

Tidak tahan dipukul

Semasa pelancaran laporan itu, bekas tahanan Nur Redzwan Wan Redzmann menceritakan pengalamannya ditahan di bawah Sosma.

Nur Redzwan Wan Redzmann, Bekas Tahanan Sosma

Redzwan ditahan pada 2016 atas alasan menyokong  kumpulan pengganas Negara Islam (IS) dan didakwa terbabit dengan perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan.

Dia kemudiannya dipenjarakan selama enam tahun di bawah Kanun Keseksaan.

Lelaki berusia 35 tahun itu mendakwa dia ditahan semata-mata kerana namanya dalam kumpulan Telegram yang menurut pihak berkuasa ada kaitan dengan aktiviti keganasan.

"Saya dijemput oleh seorang rakan untuk menyertai kumpulan itu, dan memandangkan kata rakan saya itu, ini  memberi maklumat terkini mengenai situasi di Syria dan Palestin, saya pun menyertainya," kongsinya.

Redzwan mungkin disebabkan badannya yang gempal, dakwanya dia sering ditumbuk sepanjang 28 hari dia ditahan bawah Sosma, mungkin disebabkan badannya yang gempal.

"Mereka tuduh saya mahu berjihad, dan mereka memaksa saya membuat pengakuan. Saya hanya tandatangan dan mengaku perkara yang saya tidak tahu kerana tidak tahan lagi dipukul," katanya.

Jumpa Anwar di penjara

Redzwan juga mendakwa dia sempat bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa berada di penjara Sungai Buloh, dan berkata mereka sering berbual.

“Dia (Anwar) selalu beri ceramah setiap hujung minggu di masjid penjara dan menceritakan pengalamannya. Dia secara peribadi beritahu saya bahawa Sosma adalah undang-undang yang ‘tidak masuk akal’.

"Dia pernah berkata 'tunggu sehingga kita jadi kerajaan' (untuk perubahan/pemansuhan undang-undang itu), tetapi mungkin dia sibuk dengan tugas lain sekarang, dan tidak melakukannya."

Aberameshwary Arumugam, Isteri Tahanan Sosma

Isteri kepada seorang tahanan Sosma turut sebak berkongsi kesusahannya pada majlis itu.

Menurut Aberameshwary Arumugam, suaminya telah ditahan di bawah Sosma pada Jun 2022 dan kekal dalam tahanan sehingga hari ini.

“Tarikh mahkamah seterusnya ialah Julai 2024, dan sehingga itu, dua tahun dia ditahan tanpa bicara.

"Kami sekeluarga amat terkesan dengan pemenjaraannya dan saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya buat," rintihnya.

Aberameshwary berkata malah, suaminya tidak dibenarkan menghadiri penyempurnaan jasad bapanya dan hanya dibenarkan membuat panggilan video selama setengah jam selepas bapanya telah disemadikan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS