Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ancaman bom di JB: Pemanggil beri amaran jangan sokong Palestin

Sebuah gedung beli-belah di Johor Baru menerima ancaman bom oleh seorang pemanggil tanpa nama yang mendakwa berasal dari negara asing.

Pemanggil didakwa memberi amaran supaya tidak menyokong Palestin dalam pertempuran terbaru dengan tentera Israel.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan MidValley Southkey Mall pada 6.10 petang hari ini dan dimaklumkan mengenai panggilan telefon yang mengancam itu.

"IPD JB Selatan terima panggilan telefon dari pihak pengurusan SouthKey kata mereka terima ancaman.

"Dapat panggilan telefon dan suara seseorang mengaku dia dari luar negara, bahawa dia telah mahu meletakkan bom di kawasan MidValley, minta jangan beri sokongan pada pihak Palestin," kata Raub pada sidang media malam ini.

Menjawab panggilan pihak pengusursan itu, Raub berkata 12 pegawai kanan polis, 60 pegawai rendah, dua unit anjing pengesan bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat, telah dihantar ke tempat kejadian.

Beribu-ribu pembeli, pengusaha kedai serta tetamu dan kakitangan hotel St Giles Southkey yang bersebelahan telah dipindahkan ketika pasukan pemusnah bom terus memeriksa kedua-dua kawasan termasuk tempat letak kereta.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat (gambar, bawah) berkata kawasan pusat beli-belah itu selamat beroperasi seperti sediakala.

"Pihak polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk menjalankan pemerhatian lanjut dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan," kata pada kenyataan lewat malam tadi.

Menurut Kamarul Zaman kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan berkaitan tindakan menakut-nakutkan secara jenayah yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia juga menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan menganggu gugat ketenteraman awam.

Pusat beli-belah di Mid Valley Southkey mengandungi 2.5 juta kaki persegi kawasan runcit, dengan 260 kedai runcit di enam tingkat.

Sementara itu, pihak pengurusan gedung beli-belah itu mengesahkan menerima laporan ancaman keselamatan melalui panggilan telefon tanpa nama.

"Pihak berkuasa berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Bomba segera dimaklumkan.

“Kami boleh mengesahkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa yang berkaitan sedang berjalan dan kami membantu mereka.

"Kami telah diarahkan oleh pihak berkuasa untuk mengosongkan kawasan yang terjejas sebagai langkah proaktif. Pihak pengurusan pusat membeli-belah membantu dalam kelancaran pemindahan Pusat Beli-belah dan Hotel.

"Keselamatan tetamu, pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti kami tetap menjadi keutamaan kami," kata pengurusan The Mall, Mid Valley Southkey (the Mall) dan St. Giles Hotel Southkey (Hotel) pada satu hantaran di media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru memaklumkan pihaknya menyedari laporan bahawa pengunjung ke Mid Valley Southkey Mall dan Hotel St Giles di Johor Bahru telah diminta berpindah buat sementara waktu berikutan dakwaan keselamatan dan keselamatan.

"Rakyat Singapura di kawasan sekitar dinasihatkan supaya berhati-hati, memantau berita tempatan, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Rakyat Singapura juga amat digalakkan untuk mendaftar secara elektronik dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg jika mereka belum berbuat demikian.

"Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular segera boleh menghubungi Konsulat Jeneral di +60 19 791 1166 atau Pejabat Tugas MFA 24 jam di +65 6379 8800 / 8855," katanya pada hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS