Paling Popular
Terkini

Anggota Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata demarche (tata tindak) daripada pihak Amerika Syarikat terhadap Malaysia bukan bermaksud ugutan.

Sebaliknya, kata Wan Ahmad Fayhsal, ia istilah teknikal yang merujuk kepada pendirian rasmi kerajaan yang dalam kes ini berkaitan isu Palestin.

"PM menggunakan istilah teknikal demarche satu istilah dalam bahasa Perancis yang merujuk kepada pendirian diplomatik rasmi yang diminta mana-mana negara asing berkenaan sesuatu isu.

"Beliau menganggap itu satu ugutan tapi saya rasa ini tidak tepat, dia ada impak yang serius terhadap hubungan luar kita dengan mana-mana negara yang dilihat mengancam kita atas pendirian kita tentang Palestin.

"Jadi, apa yang disebut bukanlah ugutan tapi pertanyaan rasmi oleh AS ke atas kita," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Anwar dalam perhimpunan pro-Palestin minggu lalu.

Anwar dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi mendedahkan, Amerika Syarikat telah tiga kali menekan Malaysia untuk menimbang semula pendirian terhadap Hamas sebagai pengganas.

"Pertamanya, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah memanggil duta besar Malaysia ke Washington untuk bertanya kedudukan kita dalam konflik Palestin dan Israel, terutama berkaitan dengan kekejaman Israel di Gaza.

"Tetapi duta besar kita dengan tegas menyatakan kedudukan Malaysia dalam perkara ini.

"Dan disebabkan penolakan kita untuk mengkritik Hamas dan memanggilnya sebagai kumpulan pengganas, saya dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri bahawa kita juga telah menerima demarche dari Kedutaan Amerika Syarikat di sini, dua kali. 

“Pertama pada 13 Oktober dan satu lagi pada 30 Oktober.

"Mereka meminta agar Malaysia tidak meneruskan kedudukannya, terutama pada penolakan kita untuk menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas," kata Anwar.

‘Dr M lebih lantang tapi tak diugut’

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata apa yang berlaku terhadap Anwar adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan perdana menteri keempat dan ketujuh Mahathir Mohamad.

"Kalau ikut sejarah dan diplomasi, dasar luar Malaysia, Tun Mahathir lebih lantang, lebih berani, lebih tegas dalam isu ini tapi tak pernah sekali kata beliau diugut.

"Ugutan ini adalah istilah serius, ancaman terhadap negara, kerana yang diugut itu adalah perdana menteri," katanya lagi.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal terus menekan kerajaan mendedahkan negara mana lagi yang menekan Malaysia dalam isu Palestin.

"Saya dah tanya tadi, negara mana lagi yang dikatakan mengugut beliau, tetapi dia tidak menjawab.

"Jadi, kami perlukan jawapan daripada Wisma Putra kerana kita ingin memberi respon balas dari segi protes kepada negara-negara tersebut.

"Dalam hal ini, kita bersetuju akan melindungi dan mempertahankan negara dan mempertahankan Perdana Menteri.

“Sebab itu kita tanya, kalau wajar boikot Apec (mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), sila buat demi mempertahankan pendirian dan solidariti kita kepada Palestin," katanya lagi.

Konflik antara Hamas dan Israel ini telah mengorbankan nyawa lebih 8,000 orang.

Lihat Komen
ADS