Paling Popular
Terkini

Seramai 15 Ahli Parlimen PN bertindak keluar Dewan Rakyat hari ini selepas dua rakan mereka dihalau daripada sidang parlimen hari ini.

Mereka yang dihalau keluar dari Dewan Rakyat ialah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary dan Ahli Parlimen Parit Buntar MP Mohd Misbahul Munir Masduki.

Pada sidang media di parlimen hari ini, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim tindakan keluar Dewan Rakyat itu sebagai tanda solidariti terhadap rakan mereka dan menjelaskan mereka akan kembali serta-merta untuk baki sesi hari ini.

Marzuk dan Misbahul telah dihalau keluar pada awal hari ini apabila membangkitkan isu mereka mengenai pendirian kerajaan terhadap Palestin.

Shahidan sebaliknya mendakwa ahli parlimen PN merupakan satu-satunya 'penyokong setia' Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Saya nak bagi tahu kamilah penyokong setia perdana menteri. PMX (Anwar Ibrahim) kata menyokong Palestin, anti-Israel.

"(Tapi) macam-macam mereka (ahli parlimen kerajaan) buat," katanya.

"Kita minta ahli parlimen di belah sana termasuk ahli-ahli Umno. Kami yang nampak memperjuangkan kenyataan perdana menteri. Mereka (ahli parlimen kerajaan) berbelah bagi.

"Perdana menteri kena check balik puak-puak kata kawan-kawan dia itu...menyokong ke tidak menyokong, kita tidak tahu," katanya lagi.

Marzuk pada sidang media di parlimen tidak berpuas hati dengan tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau yang menghalangnya keluar dari Dewan Rakyat.

"Saya yang bangun bertanya menteri agama (Mohd Na’im Mokhtar) apa peranan agensi agama menteri agama untuk menangani isu Islamophobia dan salah tanggap masyarakat di luar terhadap agama.

"Bahkan bukan sahaja kalangan di luar layman (orang biasa) tetapi di kalangan menteri pun salah faham tentang agama," katanya.

Marzuk memberi contoh "salah faham" perjuangan Palestin dengan merujuk hantaran media sosial oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 28 Okt yang didakwa membawa persepsi negatif terhadap Islam.



Imej itu menggambarkan dua kanak-kanak sekolah memegang senjata mainan dan berpakaian menyerupai pejuang Palestin dan Nga menyatakan sekolah bukanlah tempat untuk "konflik, pandangan ekstremis dan keganasan".

Howard Lee (PH-Ipoh Timur) sebelum ini membangkitkan perintah tetap terhadap Marzuk kerana mengaitkan motif tidak wajar terhadap Nga.

Mohd Misbahul Munir Masduki dihalau keluar dari sidang parlimen oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul awal petang ini bersama Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan selepas 'perang mulut' antara kedua-duanya.

Misbahul menyoal mengenai dakwaan sekolah tidak dibenarkan melaungkan "takbir" atau membacakan qunut nazilah semasa Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS