PARLIMEN l Kerajaan hanya boleh memohon menerusi perjanjian ekstradisi dengan Australia supaya Sirul Azhar Umar dihantar pulang ke negara ini jika hukuman matinya diringankan kepada hukuman penjara, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Bercakap pada sidang media pagi ini, Saifuddin berkata terdapat sedikit peluang untuk membawa kembali bekas komando polis itu berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab terletak pada Sirul untuk memohon semakan melalui peguamnya di Malaysia. Suspek utama pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 itu walau bagaimanapun masih berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup.
"Apakah Sirul Azhar mempunyai hak menerusi peguamnya? Dia boleh saja mengemukakan (permohonan) untuk ruang (semakan) ini.
“Kalau itu sudah dibuat, barulah boleh proses ekstradisi atau umpama rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman, sementara sabitan tidak berubah tapi hukuman berubah,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin menambah meskipun Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi, namun wujud kekangan tertentu untuk melaksanakan proses itu.
Dia berkata, Sirul hanya boleh dibawa pulang jika hukuman terhadapnya memenuhi prinsip dual criminality iaitu membawa hukuman yang sama di Malaysia dan Australia.
“Walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, namun terdapat satu perbezaan di situ. Kita memang ada banyak Mutual Legal Agreement antara Malaysia dengan banyak negara lain termasuk Australia.
“...dengan Australia ada Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002, namun, prinsip dual criminality juga terpakai dalam akta ini,” katanya.
Ini, memandangkan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya.
"Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia. Di Malaysia, status Sirul Azhar seperti yang kita maklum, dia sudah dijatuhi hukuman mati, manakala Australia pula sebuah negara yang tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah jenayah di negara mereka.
"Justeru, antara syarat ekstradisi, dia ada banyak untuk boleh dilaksanakan di mana kesalahan terbabit mestilah ada elemen 'dual criminality', iaitu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang turut membawa hukuman yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat sama ada pihak Sirul Azhar sudah memohon kepada mahkamah untuk semakan hukuman yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.
Kelmarin, media melaporkan Sirul Azhar, dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia pada 11 November lalu.
Dia dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.
Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan mengekalkan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.
Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia. Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Dia kemudiannya ditahan pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.