Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhlina dibidas lepas dakwaan lebihan guru bahasa Cina, Tamil
Diterbitkan:  Nov 16, 2023 9:47 PM
Dikemaskini: 3:18 PM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dibidas pelbagai pihak selepas mendakwa terdapat lebihan guru bagi mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil.

“Kami terkejut dan mendapati kenyataan itu tidak masuk akal,” kata Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) pada satu kenyataan bersama hari ini.

“Ia bukan sahaja tidak profesional tetapi juga tidak bertanggungjawab, berkemungkinan memburukkan lagi kekurangan guru di sekolah rendah Cina,” kata pertubuhan pendidikan itu.

Menurut mereka, sekolah rendah Cina menghadapi kekurangan 4,300 guru yang kebanyakannya guru bahasa Cina.

Kata mereka, Institut Latihan Perguruan Kementerian Pendidikan (KPM) hanya melatih 252 guru bahasa Cina dari 2024 hingga 2028.

“Adakah KPM melatih guru baru untuk mengisi kekosongan jawatan termasuk kekosongan guru mata pelajaran Bahasa Cina,” soal pertubuhan itu.

Dong Jiao Zong mendakwa KPM telah tersilap mengumpulkan statistik mengenai tenaga pengajar di sekolah-sekolah tersebut.

“Dalam pengiraan permintaan guru sekolah rendah, KPM mengkategorikan guru dan menganggap guru bahasa Cina hanya mengajar mata pelajaran bahasa Cina.

Gambar hiasan.

"Guru yang mengajar mata pelajaran lain seperti matematik, sains, sejarah, sukan, kesenian dan sebagainya, juga dikelaskan di bawah mata pelajaran berkenaan."

Dalam praktiknya, bagaimanapun, Dong Jiao Zong berkata guru sekolah rendah Cina ditugaskan untuk mengajar pelbagai mata pelajaran dengan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dan bukan hanya bahasa Cina itu sendiri.

Justeru, statistik yang Fadhlina berikan dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Selasa lalu tidak menggambarkan permintaan sebenar guru di sekolah rendah Cina.

‘Tiada permintaan untuk guru baru’

Menjawab soalan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui, Fadhlina telah menulis bahawa KPM menjangkakan lebihan guru mata pelajaran Cina dan Tamil di sekolah rendah vernakular dari 2024 hingga 2029, justeru tiada keperluan melatih guru tambahan untuk mata pelajaran ini.

Dia berkata setakat 29 Sept tahun ini, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina memerlukan 6,319 guru bagi mata pelajaran bahasa Cina, tetapi sebanyak 6,859 jawatan telah diisi. Ini bermakna lebihan 540 orang guru.

Bagi mata pelajaran Tamil di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil pula, dia berkata terdapat lebihan 308 guru selain daripada 1,433 guru yang diperlukan.

"Setelah mengambil kira semua elemen yang terdapat dalam penyediaan unjuran keperluan guru bagi tahun 2024 hingga 2029, didapati tiada keperluan guru baru yang diperlukan bagi opsyen bahasa Cina (BC) dan bahasa Tamil (BT) kerana terdapat lebihan bagi opsyen BC dan BT.

"Walau bagaimanapun, unjuran keperluan guru akan disemak dari semasa ke semasa," katanya.

Kenyataan Fadhlina itu telah mendapat kritikan ahli politik kerajaan dan pembangkang antaranya Presiden MCA Wee Ka Siong, Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bintang DAP Fong Kui Lun.

“Saya menasihatinya supaya melawat sekolah rendah Cina untuk pemeriksaan, supaya dia dapat memahami secara menyeluruh waktu pengajaran mingguan untuk gred rendah dan atas, serta semua mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah Cina.

“Pada masa yang sama, menteri juga mesti faham bahawa, kecuali kelas bahasa Melayu dan Inggeris, mata pelajaran seperti matematik, sains, seni, pendidikan moral dan muzik semuanya diajar menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar,” katanya.

“Mengikut peraturan, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi Darjah 1 dan 2 mesti diajar oleh guru yang juga mahir dalam bahasa Cina,” kata Wee, yang juga ahli parlimen Ayer Hitam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying meredakan kebimbangan mengenai kenyataan Fadhlina berkata kementerian akan mengkaji semula unjuran permintaan guru mata pelajaran bahasa Cina.

"Saya akan terus berbincang dengan Menteri Pendidikan YB Fadhlina untuk memastikan penyediaan unjuran keperluan guru baru bagi opsyen Bahasa Cina dan Bahasa Tamil setiap tahun.

"Saya mementingkan kebimbangan masyarakat Cina, Dong Jiao Zong dan masyarakat India,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Lim (gambar, atas) mengakui formula perangkaan yang digunakan kementerian terkhilaf dalam menggambarkan keadaan sebenar, yang menyebabkan ketidaktepatan dalam data kementerian dan kuota kemasukan ke institut latihan perguruan.

Katanya, dia telah menghubungi Fadhlina yang kini berada di luar negara dan mereka akan bertemu untuk membincangkan perkara itu apabila mentei pendidikan pulang ke tanah air.

Lihat Komen
ADS