Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kenapa JDT dibelasah kelab Jepun semalam
Diterbitkan:  Nov 29, 2023 1:15 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 25 November lalu mempunyai keyakinan tinggi untuk membalas dendam kepada kelab Jepun Kawasaki Frontale dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Bagaimanapun malam tadi, tiga hari selepas itu, keputusan yang dicatat jauh panggang daripada api. 

Bukan saja kalah, pasukan handalan Malaysia itu dibelasah teruk 5-0 dan gagal mencetak sebarang gol.


Baca: Kelab Jepun belasah JDT 5-0


Ia menimbulkan persoalan apa yang tidak kena, memandangkan rekod baik JDT dalam Kumpulan I bersama Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan BG Pathum United dari Thailand sebelum ini.

Bagi ketua pasukannya Jordi Amat yang juga pemain naturalisasi Indonesia, perlawanan semalam menyaksikan kerapuhan pertahan mereka.

Jordi Amat

Pada masa yang sama, katanya, Kawasaki Frontale menunjukkan aksi sempurna dalam pertembungan di gelanggang sendiri Stadium Kawasaki Todoroki yang mempunyai kapasiti 26,000 tempat duduk.

"Kami harus akur, kami tidak memperagakan rentak permainan kami walaupun sudah mencuba.

"Mereka mempamerkan aksi sempurna selain meledak jaringan dalam detik yang tepat,” dia dipetik sebagai berkata oleh Astro Awani.

Dalam perlawanan malam tadi, gawang JDT hanya bolos sekali pada minit kelapan tetapi tembus empat kali pada separuh masa kedua.

Skuad Harimau Selatan bakal mengharungi satu lagi aksi peringkat kumpulan berdepan pasukan tercorot BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Bagaimanapun ia sekadar pelengkap jadual kerana menurut pengendalinya Esteban Solari, kekalahan semalam mengesahkan JDT tersingkir dari saingan ACL.

“Bagi kami (perlawanan) malam ini (Selasa), agak berbeza di mana kami tidak beraksi dengan ‘permainan’ yang kami inginkan.

“Ini bermakna kami (JDT) telah tersingkir daripada saingan kali ini, biarpun masih ada satu perlawanan untuk diharungi selepas ini,” dia dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Sementara itu, Jordi menyifatkan kekalahan ditanggung mereka begitu perit dan mereka telah mendapat pengajaran.

"Saya cukup marah ketika ini. 

“Kami harus melihat rakaman video sepanjang 90 perlawanan ini memandangkan mereka jauh lebih bagus berbanding kami.

"Ia satu pengajaran yang perit dan kami perlu berkembang," katanya selepas perlawanan.

‘Aksi tak macam biasa’

Sementara itu, Solari berkata tidak beraksi seperti biasa dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan 0-5.

“Biarpun nampak kami beraksi dengan yakin (di awal permainan), namun kami tidak beraksi sebagaimana yang sepatutnya,” dia dipetik sebagai berkata dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan 

Dia juga berkata skuad kendaliannya itu hilang tumpuan secara tiba-tiba.

“Keyakinan itu ada, namun secara tiba-tiba kami seolah-olah hilang tumpuan namun tidak ada lagi ulasan lanjut berhubung perkara berkenaan,’ katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS