Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Kelab Jepun belasah JDT 5-0
Diterbitkan:  Nov 28, 2023 8:36 PM
Dikemaskini: Nov 29, 2023 4:30 AM

Peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk layak ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023-2024 semakin malap selepas tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale pada aksi kelima Kumpulan I di Stadium Kawasaki Todoroki malam ini.

Kemenangan bergaya itu memastikan Kawasaki Frontale, yang merupakan juara Liga J1 empat kali, mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan selepas mengumpul 15 mata dengan saingan peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.

Pasukan tuan rumah bimbingan Toru Oniki bermula garang apabila mendahului seawal minit kelapan menerusi Akihiro Ienaga yang menyudahkan umpanan Takuma Ominami sebelum terus mendominasi permainan namun gagal menambah jaringan sehingga separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, Kawasaki Frontale tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan selepas percubaan Leandro Damiao yang terkena tiang menerjah jaring pada minit ke-50 menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Kawasaki Frontale kemudian terus menghukum kelemahan JDT dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh sembilan minit selepas Marcinho mencetak nama sebagai penjaring menerusi tandukan pada minit ke-60 diikuti jaringan Yu Kobayashi yang meletakkan pasukan itu selesa mendahului 4-0.

Di penghujung perlawanan, gawang JDT bocor buat kali kelima selepas Miki Yamane meledak gol pada minit ke-88 untuk menutup perlawanan dengan bergaya dan membantu pasukan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan I menyaksikan juara dua kali dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai mengatasi wakil Thailand BG Pathum United 3-1.

Selepas lima perlawanan, JDT berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata sementara Ulsan Hyundai di tempat kedua dengan sembilan mata manakala BG Pathum United tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, JDT akan melayan kunjungan BG Pathum United di Iskandar Puteri sementara Ulsan Hyundai akan bertemu Kawasaki Frontale di Ulsan masing-masing pada 12 Dis dalam aksi terakhir kumpulan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS