Kerajaan negeri menawarkan Rumah SelangorKu dan kediaman di bawah Skim Smart Sewa Selangor kepada 118 penduduk rumah panjang Kampung Bunga Raya yang berdepan perintah pengusiran daripada mahkamah.
Ketika dihubungi, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V Papparaidu mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
"Sebanyak 33 keluarga daripada jumlah 118 penduduk asal yang masih tinggal di kawasan itu kini telah terpaksa mengosongkan rumah mereka.
"Jadi, kerajaan akan membantu mereka mencari rumah sementara untuk disewa di bawah Skim Smart Sewa Selangor.

"Selepas itu, mereka akan diberi keutamaan untuk membeli rumah di bawah skim Rumah SelangorKu," katanya.
Katanya, penduduk juga bersetuju dengan inisiatif kerajaan negeri Selangor itu.
Untuk rekod, pada 15 Disember, lebih 50 penduduk Kampungg Bunga Raya berkumpul di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam.
Mereka menggesa campur tangan Menteri Besar Amirudin Shari untuk mencari penyelesaian muktamad kepada isu penempatan semula yang membelenggu mereka selama 30 tahun.

Kumpulan penduduk turut menyerahkan satu memorandum kepada Pegawai Khas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Khairun Nizam dengan harapan mahu mengadakan satu perjumpaan dengan menteri besar bagi mencari penyelesaian.
Rumah Panjang Kampung Bunga Raya merupakan penempatan sementara kepada 118 keluarga yang dipindahkan pada 1993 susulan projek perumahan Dahlia di Seksyen U5 di Shah Alam.
Ketika itu, kerajaan negeri meminta penduduk berpindah ke penempatan sementara rumah panjang tersebut yang merupakan tanah milik kerajaan negeri sebelum berjanji memberi penempatan baru.
Namun, baru-baru ini penduduk terkejut kawasan rumah panjang itu telah dijual kepada syarikat pemaju swasta.
Syarikat kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah dan mengarahkan penduduk supaya berpindah tanpa memberikan sebarang penyelesaian alternatif.
Buat masa ini, hanya 33 keluarga masih menetap di situ.
