Seorang pemimpin PAS menyelar ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham kerana didakwa bertindak mengaitkan Perikatan Nasional (PN) dengan serangan bom petrol di rumahnya awal pagi tadi.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mendakwa, reaksi Ngeh ketika sidang akhbar susulan kejadian itu juga mendahului siasatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Menurut Razman, ia sekaligus memperlihatkan pemimpin DAP tersebut tidak memberi kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak polis.
“Membuat tuduhan untuk meraih sentimen politik dengan kejadian jenayah adalah bersifat melulu dan melampau.
“Tuduhan Ngeh seakan menyambung tuduhan (Naib Pengerusi DAP), Nga Kor Ming bahawa PAS adalah Taliban.
“Ngeh juga dilihat cuba menggambarkan imej buruk bukan hanya kepada PN, tetapi juga Islam kerana dikaitkan dengan isu kebiadaban beliau mencampuri urusan Islam baru-baru ini,” kata Razman dipetik akhbar rasmi partinya Harakahdaily.

Razman yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak berkata demikian mengulas dakwaan Ngeh bahawa insiden serangan di rumahnya itu berpunca daripada tindakan PAS dan Bersatu yang didakwanya mengapi-apikan isu tersebut supaya orang membencinya.
Ngeh pada sidang media di pejabat DAP, hari ini berkata dia memaafkan pihak yang melontar bom botol sehingga menyebabkan kebakaran yang merosakkan kereta dan rumahnya.
Bagaimanapun dia menuding jari kepada PAS dan Bersatu yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Ngeh mendakwa serangan yang bertujuan untuk membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.
Jelas Ngeh, ia berdasarkan beberapa kenyataan pemimpin PAS dan Bersatu jelas meniup kebencian terhadapnya.
Mengulas lanjut kenyataan Ngeh itu, Razman meminta pemimpin DAP terbabit agar bertenang dalam menghadapi musibah dan tidak menunding jari kepada pihak lain.
Menurut Razman, Ngeh juga tidak sewajarnya membuat tuduhan yang boleh mengapi-apikan sentimen agama susulan kenyataannya sebelum ini.

Razman turut berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera dan pihak polis diberikan kepercayaan menguruskan isu jenayah secara profesional tanpa dikaitkan dengan sentimen simpati politik.
Tambah Razman, dia juga turut merakamkan simpati kepada Ngeh sekeluarga.
Awal pagi tadi rumah Ngeh dilontar dengan bom botol, hingga menyebabkan kebakaran yang merosakkan tiga buah kereta dan bumbung anjung rumahnya.
Ketika kejadian Ngeh dan isterinya dilaporkan sedang tidur. Mereka hanya tersedar apabila dikejutkan oleh pasangan yang lalu di depan rumahnya di Ayer Tawar, Ipoh dan membunyikan loceng.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat dengan api. Polis sedang mengesan suspek jenayah itu.Setakat ini belum jelas motif perbuatan itu.
