mk-logo
Berita
Akaun dibeku: Aman Palestin heret SPRM ke mahkamah
Diterbitkan:  Jan 31, 2024 10:07 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Aman Palestin Berhad memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan SPRM membekukan 41 akaun bank miliknya dan entiti syarikat lain membabitkan wang berjumlah RM15 juta.

Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia.

"Sehingga hari ini dua surat telah diutus ke SPRM pada 27 Nov 2023 dan 9 Jan 2024 merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.

"SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusian meruncing dan ratusan mati setiap hari," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pembekuan akaun badan amal untuk Palestin itu dibuat berhubung siasatan penyalahgunaan wang derma dan dibuat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Pengganas dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

"SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan," kata SPRM pada 23 Nov lalu.

Aman Palestin ditubuhkan pada 2004 bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan dan mengumpul dana untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat pendudukan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Aman Palestin hari ini memetik angka kematian akibat konflik di Gaza mencecah telah 26,751 orang dengan 10,000 korban kanak-kanak manakala 65,636 orang lagi cedera.

"Bantuan dan kempen-kempen kemanusiaan mestilah diteruskan walau apapun terjadi," tegasnya.

"Aman Palestin Berhad menyerahkan urusan ini pada sistem kehakiman untuk mencapai kebenaran serta sebagai langkah untuk membersihkan namanya daripada tohmahan jahat dan dakwaan-dakwaan palsu penyelewengan RM70 juta (yang dinafikan)," kata Rafique Rashid (gambar atas) lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS