mk-logo
Berita
Ahmad Maslan nafi ada cubaan nak gulingkan Zahid - laporan
Diterbitkan:  Feb 4, 2024 1:20 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan menafikan dakwaan terdapat usaha menggulingkan Presiden Umno Ahmad Zahid oleh ketua-ketua bahagian parti itu.

Ahmad Maslan dipetik Sinar Harian berkata Zahid yang juga timbalan perdana menteri telah berusaha sebaiknya bagi mendapatkan pengampunan penuh terhadap bekas presiden Umno Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

"Tidak benar (ada cubaan jatuhkan Zahid), itu cuma cucukkan daripada pihak-pihak yang ingin memecahbelahkan Umno.

"Pertemuan dengan kesemua bahagian Umno pada petang ini, hasil daripada perbincangan mesyuarat MKT pada Jumaat.

"Pertemuan pada petang ini, cukup penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar pengampunan penuh dan usaha yang telah dilakukan Umno," katanya yang juga timbalan menteri kerja rayas.

Ahmad Maslan juga dipetik berkata Umno kini memberikan tumpuan terhadap usaha mendapatkan pengampunan penuh bagi Najib yang masih mempunyai peluang.

"Petang ini juga, Ahmad Zahid akan menjelaskan segala usaha yang dilakukan di hadapan 191 ketua Umno bahagian, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri, Exco-exco wanita, pemuda dan puteri bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC)," katanya, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Umno menangguhkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadual diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sepanjang hujung minggu ini.

Kolokium yang diketuai Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani itu sepatutnya dihadiri 2,000 pemimpin Umno daripada semua 191 bahagian di seluruh negara.

Penangguhan kolokium itu bagi memberi laluan mesyuarat khas Umno diadakan untuk membincangkan perkembangan politik mutakhir khususnya bersangkutan dengan pengurangan tempoh hukuman terhadap Najib Razak oleh lembaga pengampunan.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Adam berkata Umno akan meneruskan usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri Najib Razak dengan membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bekas presiden Umno itu boleh merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika tidak berpuas hati dengan pengurangan hukuman yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan.

Anwar berkata proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif perdana menteri dan kerajaan.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa ia telah mengurangkan tempoh penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Ini bermakna Najib akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Dalam mesyuarat pada 29 Jan, lembaga itu juga mengurangkan denda yang dikenakan ke atas bekas perdana menteri itu daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Lihat Komen
ADS