Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Mahkamah Syariah kekal utuh, pemerkasaan diteruskan
Diterbitkan:  Feb 9, 2024 12:20 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memberi jaminan kedudukan Mahkamah Syariah kekal utuh seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, susulan keputusan mahkamah yang membenarkan petisyen mencabar 18 peruntukan enakmen kesalahan jenayah di Kelantan hari ini.

Pada masa sama, Mohd Na'im berkata kerajaan akan mengambil beberapa langkah bagi memastikan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan.

Antaranya, dia berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan diarah untuk segera mendapatkan alasan penghakiman kes tersebut untuk dikaji dan merangka perancangan selanjutnya.

"Beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes ini.

“Segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd Na'im berkata dia juga akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk perbincangan selanjutnya dan pindaan undang-undang, jika perlu, akan dilakukan.

Kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan petisyen difailkan peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk mencabar 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Antara peruntukan yang dianggap tidak sah ialah mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).


PANDUANKINI | Penjelasan tentang petisyen cabar enakmen syariah Kelantan


Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).

Dua peruntukan yang ditolak panel hakim membabitkan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30).

Tengku Yasmin Natasha dan Nik Elin

Panel hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bagaimanapun sekali lagi menegaskan petisyen itu bukan berkenaan kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah, namun tentang keabsahan perlembagaan terhadap peruntukan enakmen.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata dia akan segera memohon perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah untuk memaklumkan keputusan mahkamah.

"Saya juga akan segera memohon menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan," katanya.

"Semua pihak diseru untuk bertenang serta tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang kepada keresahan awam.

"Akhirnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS