Lalat sering kali dikaitkan dengan kekotoran, menghurung sampah sarap dan membawa penyakit yang memudaratkan manusia.

Namun, bukan semua lalat memainkan peranan sebagai vektor penyakit.

Lalat askar hitam atau black soldier fly (BSF) merupakan spesis serangga yang tidak memudaratkan serta menjadi sumber protein alternatif haiwan ternakan dan proses kitar semula sisa makanan manusia.

Manfaat itu disedari oleh siswi tahun ketiga pengajian bioteknologi di Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Aisyah Maisarah Abd Razak atau lebih dikenali dengan panggilan Sera.

Sera, 22 tahun bercita-cita untuk membuka perniagaan bioteknologi dengan menjual BSF sebagai produk pertamanya.

Katanya, impian itu dapat menjadi penyelesaian terhadap masalah pembaziran sisa makanan yang kritikal serta sumber makanan buat industri ternakan.

Ia juga bagi mengelakkan kebergantungan terhadap makanan ternakan import yang tidak menentu turun naik harga, jelasnya.

“BSF adalah spesies yang menarik kerana pada fasa larvanya, serangga ini mampu memakan sehingga berkali ganda saiz badannya dalam masa yang singkat.

“Ini menjadikannya sumber protein yang sangat baik untuk pemakanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, ikan, dan juga haiwan peliharaan, termasuklah haiwan eksotik.

"Menariknya, larva BSF ini akan memakan apa sahaja sisa organik, termasuklah sisa makanan.

“Pemasaran produk ini secara meluas adalah satu penyelesaian yang mampan untuk masalah pengurusan sisa yang kita hadapi,” jelasnya.

Sera berkata dia yakin akan kemampuan produk ini untuk dipasarkan terlebih dahulu di UM, seterusnya meluas ke sekolah dan universiti lain.

Ekonomi kitaran di UM

“Saya berasa teruja untuk mengadaptasikan idea ini secara besar-besaran di kampus universiti sebagai satu ekosistem ekonomi kitaran kerana UM mempunyai lebih 20 kafeteria dan juga ladang haiwan ternakan sendiri.

“Bukan sekakat itu, kami juga bercita-cita untuk mempromosikan kit ternakan BSF kepada sekolah dan universiti lain sebagai usaha untuk menyokong SDG 12,” katanya lagi.

Menurut Sera, kajian penyelidik di Institut Sains Biologi (ISFB) di Fakulti Sains UM, Dr Norhidayah Mohd Taufek mengenai impak BSF terhadap alam sekitar mempengaruhi minatnya untuk meneruskan penelitian dalam bidang ini.

“Buat masa ini, di bawah seliaan Dr Norhidayah, kami sedang mengusahakan untuk membina sebuah Perusahaan sosial (social enterprise) BSF di Ladang Mini ISB yang terletak di UM,” katanya.

Sera yang juga anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik sudah biasa dengan dunia perniagaan semenjak kehilangan arwah ayahnya pada tahun 2013.

“Saya dan ibu mula sejak Covid-19, mengusahakan perniagaan bakeri secara kecil-kecilan dari rumah.

"Kami mendapat banyak tempahan kek brownies dan roti daripada warga setempat yang memesan secara atas talian.

"Kemudian, saya mula membekalkan produk bakeri kepada kedai-kedai di kolej kediaman UM,” kata penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman ini.

Sera turut mengakui minatnya yang mendalam dalam bidang keusahawanan mempengaruhi keputusannya untuk memilih jurusan bioteknologi.

Ini katanya, kerana bidang sains tersebut mempunyai potensi perniagaan yang boleh menjana pendapatan lumayan.

Lihat Komen
ADS