Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi, jangan bodohkan rakyat dan wartawan - Bersatu
Diterbitkan:  Mar 7, 2024 11:54 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris membidas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung kenyataannya bahawa kad akreditasi media bukan lesen untuk pengamal media menjalankan tugas.

Menurut Razali, kenyataan seumpama itu bukan sahaja kurang ajar tetapi satu penghinaan kepada pengamal media di negara ini.

Razali Idris

“Jangan bodohkan rakyat dan pengamal media mengenai fungsi kad media dibandingkan dengan lesen perubatan, peguam, arkitek atau jurutera.

“Selama ini pun pengamal media telah maklum akan akreditasi kad media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan menerusi pendaftaran rasmi, tapisan dan kelulusan bagi membolehkan media bergerak bebas tanpa sekatan atas tujuan tugasan.

“Persoalannya sekarang ialah ada ura-ura untuk mengetatkan peraturan bagi kelulusan kad media, memendekkan tempoh sah kad media, mengawal lambakan pengamal media yang bertugas dalam organisasi atas talian serta dilihat ada usaha-usaha menyekat kebebasan media sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia seterusnya menggesa Fahmi supaya menghormati profesionalisme media dan kewartawanan yang mempunyai institusi tersendiri.

“Ingat, pejuang kemerdekaan, pejuang bangsa dan pejuang wadah keilmuan adalah datangnya dari keringat yang tidak pernah kenal erti penat lelah iaitu wartawan dan pengamal media,” katanya.

Semalam, Fahmi dipetik sebagai berkata kad akreditasi media bukan lesen untuk mengamalkan kewartawanan, tidak seperti yang diberikan kepada pengamal perubatan atau undang-undang,

Sebaliknya, kata menteri itu, kad media hanyalah satu cara untuk memudahkan akses media ke acara rasmi.

Fahmi berkata demikian sebagai mewajarkan tindakan Jabatan Penerangan untuk mengeluarkan kad media dengan tempoh sah lebih pendek kepada wartawan daripada pelbagai agensi berita dalam talian.

Menteri itu berkata demikian sebagai mewajarkan langkah Jabatan Penerangan mengeluarkan kad media dengan kesahihan lebih pendek kepada wartawan daripada pelbagai agensi berita dalam talian.

Tanpa kad media, wartwan dilarang membuat liputan untuk acara rasmi dan dilarang masuk ke bangunan tertentu. Antaranya jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan Parlimen di Kuala Lumpur.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS