Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan kecoh, pembangkang bantah RUU kekebalan bidang kuasa negara asing

PARLIMEN | Dewan Rakyat kecoh apabila ahli parlimen pembangkang membantah Rang Undang-undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negeri Asing 2023 khususnya mengenai klausa kuasa perdana menteri di bawah RUU berkenaan.

Undang-undang baru itu digubal untuk mengawal selia kekebalan yang diberikan kepada sesuatu negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan sesuatu negara daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen PAS Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan mengenai Seksyen 32 dan Seksyen 33 RUU itu - mengenai kuasa untuk mengecualikan mana-mana negeri asing daripada kekebalan terhadap pertuduhan, atau membuat peraturan berkaitan.

"Kedua-dua frasa ini dengan jelas kata kuasa untuk mengecualikan dan membuat undang-undang, kuasa di tangan perdana menteri full stop.

"Agak berbeza dengan negara-negara lain," kata Takiyuddin yang memetik undang-undang United Kingdom, Australia dan Kanada di mana kuasa yang sama diberikan kepada ketua negara masing-masing.

Hamzah yang juga ahli parlimen Larut berkata bantahan pembangkang ini bertujuan supaya elemen "semak dan imbang" dimasukkan ke dalam RUU itu - berhubung kuasa untuk mengecualikan mana-mana negara asing daripada mana-mana peruntukan akta tersebut.

“Kita tidak mahu perkara yang boleh kedaulatan negara dipersoal.

"Saya nak jelaskan, kalau berlaku seorang perdana menteri ada perkara yang boleh menyebabkan kuasa besar 'picit' dia...dengan kuasa untuk memberikan pengecualian, dia boleh menggunakan kuasa ini," kata Hamzah.

Imuniti di mahkamah asing

Dalam responsnya, Azalina menjelaskan RUU itu tidak menyentuh mengenai kedaulatan negara sebaliknya melibatkan imuniti mahkamah Malaysia.

"Supaya kita dapat imuniti di mahkamah asing," kata menteri itu.

Kata Azalina, tidak seperti di negara-negara seperti UK, Australia dan Kanada, undang-undang baru yang dibahaskan hari ini termasuk peruntukan yang membenarkan pembentukan majlis untuk menjalankan tugas yang diberikan.

"(Ahli Parlimen) Kota Bharu kena faham bahawa di UK, Kanada dan Australia, tidak ada majlis. Ia hanya seorang yang membuat keputusan.

“Di sini kita ada majlis. Majlis kita mempunyai lebih daripada seorang,” tegasnya.

Azalina berkata isu-isu berkaitan kedaulatan negara tidak timbul kerana asas imuniti adalah mengenai sifat timbal balik dalam hubungan dengan negara lain.

"YB (Hamzah) tidak boleh menggerakkan tiang gol sepanjang masa. Anda bercakap tentang kedaulatan, Kota Bharu bercakap tentang kedaulatan. Saya katakan kedaulatan tidak ada dalam isu ini di sini.

“Isu kedaulatan ditangani di bawah Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

"Dasarnya adalah mengenai timbal balik. Mereka mengetepikan imuniti kita di negara lain, kita mengetepikan imuniti mereka di sini. Itu sahaja," katanya, merujuk kepada kes yang difailkan terhadap kerajaan Malaysia di negara asing.

Lantaran itu, ahli parlimen saling bertempik, antaranya termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Shahidan Kassim (PN-Arau), Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bangun untuk mengasak Azalina.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau yang mempengerusikan sidang itu berkata memandangkan ahli parlimen kelihatan "tidak berminat" untuk mendengar penjelasan lanjut, usul untuk membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua perlu diundi.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan untuk bacaan kali kedua melalui undian suara.

Ketika proses pengundian RUU itu, Ronald Kiandee (PN-Beluran) membangkitkan peraturan dewan supaya rang undang-undang berkenaan dirujuk kepada jawatankuasa pilihan untuk perbincangan lanjut.

Bagaimanapun Lau berkata usul untuk membentangkan Rang Undang-undang untuk bacaan kali kedua telah diluluskan.

Lantaran itu, Ronald mendakwa timbalan speaker telah menafikan haknya.

"Anda telah menghalang proses, saya bangun lebih awal," kata Ronald yang membangkitkan peraturan 54 (1) dan 54(2).

"Ya, saya tahu saya kecil dan mungkin tidak kelihatan…tetapi saya mempunyai hak saya dan menyatakan bahawa hak saya dirampas,” kata Ronald kepada timbalan speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, yang menggantikan Lau.

Ramli akhirnya menasihatkan Ronald supaya mengemukakan usul rasmi berhubung bantahannya itu bagi menyemak keputusan yang dibuat oleh speaker.

Rang undang-undang itu kemudiannya dibahaskan di peringkat jawatankuasa dan juga meluluskan bacaan ketiga dan terakhir melalui undian suara.

Ia juga meliputi keadaan untuk pengecualian imuniti; sekatan imuniti; penubuhan Majlis Kekebalan Negara Asing; penarikan imuniti jika tiada timbal balik diplomatik dan peruntukan lain yang berkaitan dengannya.

Lihat Komen
ADS