Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham hantar representasi, mohon maaf terbuka hina mahkamah
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 11:53 AM
Dikemaskini: 4:35 AM

Isham Jalil telah menghantar surat representasi kepada peguam negara dan bersedia membuat tawaran untuk memohon maaf tanpa syarat bagi menyelesaikan prosiding penghinaan pendakwaan terhadapnya.

Peguam bekas ketua penerangan Umno dari firma guaman Tetuan Jamie Wong mengeluarkan representasi bertarikh 25 Mac kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Semasa pengurusan kes prosiding komital pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pendakwaan menerima surat permohonan representasi itu lewat bulan lepas.

Dia berkata Isham, melalui representasi itu, menawarkan permohonan maaf secara terbuka bagi menyelesaikan perkara penghinaan yang dikaitkan dengan kes jenayah 1MDB dan SRC International membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Ahmad Akram memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin hari ini.

“Pihak responden (Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil) telah mengemukakan representasi berkenaan kepada AG pada 25 Mac lepas melalui e-mel dan pemohon (pendakwa raya) perlu mendapatkan arahan daripada AG berhubung representasi itu.

“Representasi itu adalah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan tidak bersyarat kepada badan kehakiman. Oleh itu, pihak kami memohon suatu tarikh pengurusan kes baharu ditetapkan,” kata Ahmad Akram yang mengendalikan kes bersama TPR Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes lanjut prosiding komital.

Pada 4 Mac lepas, mahkamah membenarkan permohonan AG untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham.

Pada 28 Dis tahun lepas, Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memfailkan permohonan agar Isham dipenjarakan atau didenda kerana menghina mahkamah.

Ia berhubung temu bual bekas pemimpin Umno itu bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa”, yang disiarkan di laman Facebook “The Malaya Post” pada 30 Sept, 2023.

Dalam temu bual itu, Isham didakwa mengulas mengenai proses perbicaraan dan rayuan kes 1MDB dan SRC membabitkan Najib yang dipenjarakan.

Laporan polis mengenai temu bual itu juga telah dibuat pada 6 Okt 2023.

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan yang diucapkan oleh Isham telah mengaibkan badan kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS