Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad tayang gambar turun padang buat tatapan Fadhlina
Diterbitkan:  May 3, 2024 12:13 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi mendedahkan pengalamannya menjelajah ke sekolah pedalaman sewaktu menjadi timbalan menteri pendidikan.

Pendedahan itu sebagai menjawab kritikan penyokong Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Menurut Mohd Puad, dia sempat melawat hampir 168 buah sekolah di pedalaman khususnya pedalaman 3 (P3) ketika itu termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Ada penyokong menteri pendidikan tidak boleh terima cabaran saya agar menteri tidur satu malam di rumah panjang. Dia kata apa saya buat masa jadi timbalan menteri dulu. 

"Saya pernah bermalam di 17 rumah panjang di Sarawak. Kalau di Sabah biasanya saya bermalam di rumah guru. Masa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Lenjan di Cameron Highlands saya tidur di bilik darjah yang sejuk.

"Saya melawat hampir 168 buah sekolah pedalaman khususnya pedalaman 3 (P3).

"Untuk ke sekolah pedalaman biasanya naik bot atau guna 4WD meredah jalan balak. Untuk ke SK Bekalalan saya naik 4WD selama 9 jam," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tiga hari lalu, Mohd Puad dilaporkan mencabar Fadhlina untuk bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman bagi merasai sendiri kepayahan pelajar di sana mendapatkan pendidikan.

“Kepada menteri pendidikan sudilah bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman. Saya cabar. Jangan jadi menteri malas,” katanya dalam satu kenyataan.

Cabaran itu dibuat susulan laporan terbaru Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' yang memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.

Bagaimanapun PKR Johor melalui naib pengerusinya, Mohamad Taufiq Ismail membidas Mohd Puad kerana seolah-olah Fadhlina tidak ambil pusing isu sekolah pedalaman.

Mengulas lanjut, Mohd Puad menceritakan pengalamannya yang berjalan kaki lapan jam untuk melawat SK Saliliran Nabawan berhampiran sempadan Kalimantan Indonesia dan melawat hampir semua sekolah pulau termasuk Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulai Sibu, Pulau Banggi dan Pulau Shanghai.

"Hasil lawatan turun ke bawah itu membantu saya selesaikan banyak masalah. Contoh bina asrama desa baru di SK Saliliran dan SK Pensiangan. Membina rumah guru baru seperti di SK Tinanduk.

"Pelan Transformasi Pendidikan Sekolah Pedalaman telah dilancarkan di Paitan Beluran Sabah pada 16 April 2013. Ia patut ditambah baik dan diteruskan.

"Sudah tentu tidak semua masalah selesai. Saya bukan raja formula. Sebab itu menteri kena sambung dan turun sendiri ke bawah. Jangan banyak retorik," katanya lagi.

Mohd Puad turut menitipkan nasihat kepada menteri supaya tidak mudah melenting apabila dicabar dalam perkara kebaikan sebegini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS