Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad cabar Fadhlina bermalam di rumah panjang
Diterbitkan:  Apr 30, 2024 12:22 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mencabar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman bagi merasai sendiri kepayahan pelajar di sana mendapatkan pendidikan.

“Kepada menteri pendidikan sudilah bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman. Saya cabar. Jangan jadi menteri malas,” katanya dalam satu kenyataan.

Cabaran itu dibuat susulan laporan terbaru Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' yang memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.

Ini walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK).

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk dari rakan serantau (34 peratus dalam ekonomi yang serupa).

Pelajar Malaysia juga dilaporkan menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.

Sebaliknya, pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa yang sama, menurut laporan itu.

Bagaimanapun Fadhlina dilapor mengelak menjawab soalan mengenai laporan itu.

Mengulas lanjut, Puad berkata siapa pun pasti bimbang bila hanya 58 peratus pelajar di negara ini yang mahir membaca semasa berada di tahun lima.

“Kalau ikut logik macam tidak logik. Bajet pendidikan setiap tahun amat tinggi. Kita juga telah merombak dasar pendidikan beberapa kali.

“Hatta tidak boleh dinafikan KPM ramai pakar yang berkelayakan tinggi. Di mana silapnya?.

"Sebenarnya Bank Dunia telah beri jawapan konkrit kenapa ia berlaku. Maka KPM patut fokus terhadap punca tersebut dan mencari cara lebih efektif untuk mengatasinya," katanya lagi.

Akses terhad prasekolah

Kata Puad, antara masalah yang timbul ialah akses terhad kepada pendidikan pra sekolah berkualiti khususnya di kawasan pedalaman menyebabkan ramai anak-anak di kawasan itu tidak dapat memasuki prasekolah.

“Masalah paling rumit ialah sekolah terlalu jauh.

“Ada yang berjalan kaki dan naik bot untuk ke sekolah. Maka mereka perlu tinggal di asrama desa kalau mahu ke sekolah.

“Masalahnya bagaimana murid pra sekolah mahu tinggal di asrama? Umur pra sekolah tidak sesuai diam di asrama. Apa lagi kalau masih guna kain lampin atau lampin pakai buang (pampers).

“Itu puncanya ramai yang tidak dapat belajar di pra sekolah. Tidak mungkin mereka berulang alik jalan kaki atau naik bot untuk ke pra sekolah. Ia melibatkan kos diesel,” katanya.

Tambah Puad, tidak semua rumah panjang memiliki pra sekolah dan tidak semua guru sanggup tinggal di kawasan berkenaan.

“Ada NGO dan korporat mendirikan Rumah Arau berdekatan sekolah. Rumah Arau tempat ibu-ibu dan murid pra sekolah tinggal bersama.

“Hujung minggu mereka balik rumah panjang untuk bertemu suami dan ambil barang bekalan memasak seperti beras. Tetapi berapa banyak Rumah Arau dibangunkan?"soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS