Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata kerajaan persekutuan bersama kerajaan Selangor bersetuju membina penempatan semula 245 keluarga peneroka estet getah yang bekerja di lima ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

Katanya, projek perumahan ini adalah hasil kerjasama KPKT, kerajaan negeri dan Berjaya Corporation Bhd.

"Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama kerajaan negeri Selangor telah memperuntukan RM75 juta. Sementara, Berjaya Corporation memberi tanah seluas 20 ekar secara percuma untuk pembinaan rumah.

"Saya jangka projek akan disiap dibina dalam masa 24 bulan selepas mendapat kelulusan pembinaan," katanya pada sidang media di Kuala Selangor, pagi ini.

Difahamkan, Nga membuat pengumuman ini di Kuala Selangor susulan larangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada kerajaan dan parti politik daripada membuat sebarang pengumuman projek di kawasan PRK KKB.

Exco Selangor Papparaidu Adun Sentosa Gunaraj George, penyelaras parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan dan wakil Berjaya Corporation turut hadir sidang media pagi ini.

Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar merupakan dua ladang berada di bawah kawasan DUN Kubu Kuala Bharu yang akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei ini.

Tiga ladang lagi berada di bawah kawasan parlimen Tanjung Karang.

Sebelum ini, penduduk lima estet berkenaan meletakkan syarat terhadap mana-mana calon yang inginkan sokongan mereka pada PRK ini (gambar atas).

Wakil jawatankuasa penduduk berkata calon yang mahu undi dari ladang berkenaan perlu membuat perakuan berkanun (SD) bagi menunaikan segala janji yang ditabur.

Terdapat 500 pengundi di DUN KKB datang dari Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah pembinaan rumah teres kos rendah untuk 245 pekerja dari lima ladang tersebut yang dirancang di atas tapak seluas 20 ekar tanah yang diberikan Berjaya Corp Bhd pada 2019.

Dalam maklum balas segera, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan (gambar atas) berkata pengumuman hari ini sangat signifikan.

"Kami mengalu-alukan pengumuman hari ini. Ini adalah signifikan kerana sebelum ini, pekerja ladang diusir dari ladang sebelum diberi rumah.

“Tapi, ini kali pertama pekerja diberi rumah sedangkan mereka masih tinggal di ladang.

"Ini adalah satu contoh yang baik oleh kerajaan Madani. Saya harap kerajaan hari ini turut memberi perhatian dan pengumuman yang sama kepada estet-estet lain yang menghadapi isu yang sama," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, penyelaras parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar atas) berkata pengumuman hari ini menunjukkan kepentingan kerajaan negeri dan persekutuan perlu ditadbir oleh pihak yang sama.

"Ini adalah isu 26 tahun dan tidak dapat diselesaikan kerana pelbagai masalah lain. Tapi, setelah Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat dan kerajaan negeri bersama-sama dapat menyelesaikan isu perumahan ini dalam masa 16 bulan sahaja.

"Saya juga menyambut baik pengumuman menteri khususnya berjanji akan menyiapkan projek perumahan ini pada 2026.

"Apa yang penting, penghuni di sini akhirnya dapat rumah impian mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS