Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Miskin nak beli sarapan, enam tahun sahabat kongsi makanan'

KISAH MUHIBAH | Malaysiakini pada April menjalankan kempen meminta pembaca berkongsi dengan kami kisah kehidupan mereka, yang mencerminkan semangat muhibah Malaysia.

Niat kami ingin berkongsi rakaman kenangan saat-saat rakyat berbilang kaum dan agama negara ini berkumpul bersama, baik menyambut pelbagai perayaan, membantu antara satu sama lain mahupun menikmati kehidupan seharian mereka.

Kami menerima kiriman perkongsian daripada Mark Kok Wah, yang bercakap mengenai “abangnya” Mahadhir Mohamad, sahabat sejak darjah 1 sekolah.

Tidak lama kemudian, kami menerima satu lagi kiriman, kali ini daripada rakan Mark yang lain, Dr Syed Faisal Syed Taha, yang mengimbau kembali hari-hari mereka mencari berudu dan bagaimana persahabatan mereka berkekalan.

Ini cerita mereka, dengan kata-kata mereka sendiri, seperti yang dikongsikan kepada Malaysiakini.

Sahabat sejati kongsi nasi kandar

Kisah muhibah oleh Mark Koh Wa:

Kapsyen: Mark Koh Wah (kanan) membantu kawannya Mahadhir Mohamad pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Mahadhir Mohamed merupakan seorang kawan baik saya yang saya anggap sebagai adik-beradik sejak dari tahun 1978, semasa kami murid Darjah 1 di SRK Sri Aman, Kampung Melayu, Pulau Pinang."

"Beliau adalah seorang pelajar cemerlang yang sangat pintar, yang kemudiannya menjadi seorang jurutera yang berkaliber."

"Kerap, Mahadhir sanggup berkongsi sarapan dengan saya - nasi kandar dua kupang Kampung Melayu, berlauk setengah telur rebus - kerana dia tahu saya dari keluarga miskin dan tidak mampu membeli sarapan di sekolah."

"Dia berkongsi sarapan dia dengan saya dari Darjah Satu sehingga Darjah Enam. Saya tidak pernah lupa sehingga ke hari ini, dan sehingga hari ini, kami tetapi seperti adik beradik. Insya Allah, semoga hubungan kami berkekalan sehingga ke akhir hayat."

'Bertuah hidup lepas era merdeka'

Kisah muhibah oleh Dr Syed Faisal Syed Taha:

"Ini kawan saya, Mark Koh Wah. Kawan baik dari zaman kanak-kanak.

"Kami membesar bersama dalam suasana harmoni yang indah. Kami sering mencari berudu bersama dan dia akan tidur semalam dua di rumah kami, makan nasi dan gulai yang ibu saya masakkan.

"Nenek saya selalu tertanya mengapa setiap kali Mark datang melawat, ada berudu dalam akuariumnya.

"Mark fasih bertutur Bahasa Melayu dan kami bertuah kerana pada masa itu, sekolah kebangsaan dihadiri murid dari pelbagai bangsa.

"Walaupun begitu, kami membesar tanpa mengubah kepercayaan agama kami dan budaya kami tidak terancam. Malahan, saya mendapat pengalaman yang lebih baik kerana pendedahan pada pelbagai budaya.

"Saya dapat belajar dari budaya masyarakat etnik Cina yang mementingkan ketekunan dan bekerja keras, manakala Mark pula mungkin belajar dari budaya Melayu yang mementingkan adab, kekeluargaan dan ketaatan kepada agama.

"Semasa kami muda, kami diajar dalam kelas sejarah bagaimana penjajah British menggunakan taktik pecah dan perintah untuk menguatkan kuasa mereka. Kami berasa bertuah hidup dalam era lepas kemerdekaan, di mana kami boleh bersatu.

Dr Syed Faisal Syed Taha (paling kiri) dan Mark Koh Wah (paling kanan) bersama keluarga mereka.

"Malangnya, selepas masa berlalu, legasi sama yang digunakan oleh pemimpin kita sendiri. Mereka pecah dan perintah untuk keuntungan sendiri, menggunakan perbezaan agama dan budaya kita sebagai alat untuk memecahbelahkan kita. Walhal agama dan budaya seharusnya menyatukan, bukan memisahkan.

"Patah hati saya melihat bagaimana masyarakat jatuh dalam perangkap yang sama digunakan penjajah. Kita boleh kata penjajah adalah kuasa luar yang inginkan kita berpecah tapi kini kita, yang hidup bersama sejak lahir, pula mahu berpisah.

"Masa sudah tiba untuk kita sedar. Jangan terperangkap dalam taktik lama penjajah yang kini digunakan ahli politik. Kita lebih baik dari itu. Cari apa yang menyatukan kita, bukan apa yang memisahkan.

"Cari kawan-kawan dari bangsa dan budaya lain dan jangan biarkan ahli politik kita memenangkan agenda mereka. Mereka inginkan ini, bukan kita. Tunjukkan pada mereka bagaimana kita satu keluarga bahagia yang tidak boleh dipisahkan.

Dr Syed Faisal dan Mark Koh Wah hadir majlis reunion SRK Sri Aman.

Kongsi cerita muhibah anda sendiri ke [email protected]. Kisah terpilih akan menerima langganan Malaysiakini percuma selama sebulan. Butiran lanjut di sini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS