Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tragedi Ulu Tiram: PAS persoal tahap siap siaga pasukan keselamatan
Diterbitkan:  May 17, 2024 8:30 PM
Dikemaskini: 3:23 PM

PAS menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tampil dengan penjelasan yang jujur mengenai kejadian serangan terhadap balai polis Ulu Tiram, yang menyaksikan dua anggota pasukan keselamatan terkorban manakala seorang lagi cedera.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata KDN perlu memberi komitmen tegas bahawa ia tidak akan berulang lagi.

"PAS memandang serius kejadian serangan yang mengorbankan tiga orang, termasuk dua anggota polis, di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal subuh tadi, sekali gus mempersoal tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan kita sehingga membolehkan perkara malang ini berlaku," katanya pada satu kenyataan hari ini..

"Selain itu tahap kesiapsagaan yang lemah di pintu masuk balai polis sehingga suspek boleh meloloskan diri dengan mudah tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan segera ke arah penambaikannya.

"Sebagai agensi yang bertanggungjawab langsung ke atas keselamatan dan kesejahteraan negara, kelemahan atau kealpaan yang sedikit boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang berniat atau beragenda serong dan mesti dihindari sama sekali kerana kesannya sangat besar," tegasnya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata suspek yang membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi dalam serangan awal pagi tadi dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI)

Polis mengesyaki suspek berusia 22 tahun itu telah merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan, namun motif sebenar suspek masih belum dapat dipastikan.

Ketua polis negara juga memaklumkan pasukan keselamatan telah menyerbu rumah keluarga suspek yang ditembak mati ketika kejadian itu.

Polis telah menahan lima ahli keluarga suspek dan dua pelajar - lelaki berusia 22 tahun dan perempuan berusia 21 tahun - yang ke balai polis itu tidak lama sebelum serangan berlaku.

Menurut Razarudin, pelajar terbabit datang ke balai itu atas alasan untuk mendapatkan nasihat polis mengenai serangan seksual yang mereka dakwa berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Ketika kedua-duanya membuat laporan, penyerang memasuki balai itu dengan menaiki motosikal dan meletakkan kenderaannya di kawasan belakang balai berkenaan.

Salah seorang anggota polis kemudian membuat pemeriksaan sebelum penyerang menetaknya dengan parang.

Menurutnya suspek kemudiannya mengambil senjata api anggota polis terbabit.

Kemudian telah berlaku kejadian tembak menembak.

"Salah seorang anggota CPJ telah ditembak di pipi dan tembus di kepala dan meninggal di tempat kejadian.

"Bagaimanapun, seorang anggota kita di situ telah tembak suspek," kata Razarudin.

Razarudin berkata penyerang dipercayai telah membuat persediaan rapi untuk menyerang balai berkenaan.

Susulan insiden itu, polis merampas sepucuk pistol Walther P99 dan senapang HK MP5 daripada suspek.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada awal hari ini meminta rakyat bertenang susulan tragedi serangan itu.

Fadhli Shaari berkata semoga kedua-dua pahlawan negara yang terkorban itu dirahmati Allah SWT dan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.

Fadhli (gambar atas) meminta supaya diberikan “ruang selesa kepada pihak polis dan KDN bertindak dan melakukan siasatan menyeluruh.”

“Kawalan dan kaedah berurusan di balai polis yang merupakan lokasi kritikal juga perlu dinilai semula agar menepati ciri-ciri keselamatan terutama di waktu tengah malam yang tentunya mempunyai bilangan anggota bertugas yang terhad.

“Serangan ini merupakan satu detik hitam dalam sejarah perkhidmatan Polis Diraja Malaysia.

“Ia hampir mengulangi sejarah serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat pada tahun 1980 dulu oleh sekumpulan pengikut ajaran sesat,” katanya seperti dilapor Harakah Daily.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS