Kempen membantah pengambilan pelajar bukan bumiputera untuk kursus tertentu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini tersasar, kata NGO hak asasi Pusat Komas.
Sementara mengakui konteks sejarah UiTM dalam memperkasa komuniti bumiputera, NGO tersebut berkata keputusan mengekalkan eksklusiviti untuk bumiputera dalam semua kursus tidak selaras dengan keperluan negara pada masa ini.
"Malaysia menghadapi kekurangan kritikal pakar, terutama dalam bidang seperti pembedahan kardiotoraks. Kekurangan ini menjejaskan semua rakyat Malaysia," kata Pusat Komas dalam kenyataan hari ini.
Pusat Komas membangkitkan kenyataan Persatuan Pembedahan Toraks dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS) yang mendakwa bahawa kelewatan rawatan adalah punca berlakunya satu kes kematian seminggu di kemudahan rawatan kardiotoraks Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, menafikan individu berkelayakan untuk mendapatkan latihan hanya kerana kaum menghalang kemajuan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Katanya lagi, "kedudukan istimewa" bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti yang dinyatakan oleh perangka dasar itu, Tun Dr Ismail Abdul Rahman hanyalah sebagai langkah sementara untuk membolehkan mereka berdaya saing dengan kaum lain.
"Mengekalkan eksklusiviti Bumiputera dalam bidang yang sangat memerlukan profesional berkemahiran menghalang kemajuan negara dan meneruskan ketidaksamaan," tambahnya.
Pendekatan bernuansa
Pusat Komas menggesa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM untuk mengambil pendekatan yang lebih bernuansa dan mencadangkan kursus atau program yang mempunyai kekurangan kritikal seperti latihan pembedahan kardiotorasik dibuka kepada bukan Bumiputera, sementara mengekalkan fokus terhadap Bumiputera dalam program lain.
Langkah itu membolehkan semangat DEB terus diangkat dan pada masa sama menangani keperluan negara yang mendesak, katanya lagi, sambil menambah cadangan untuk membuka program kardiotoraks UiTM hanyalah sebagai langkah sementara, sebelum program serupa dibangunkan di Universiti Malaya.
Pusat Komas turut menyeru semua pihak menunjukkan empati terhadap doktor bukan bumiputera yang terkesan dalam isu ini, serta menggesa kerajaan mengadakan dialog membina dengan semua pemegang taruh bagi mengimbangi hak bumiputera dengan kepentingan nasional.
"Kemahiran seorang pakar bedah jantung bukan ditentukan oleh kaum, tetapi kemampuan untuk merawat jantung," katanya lagi.
Pada 15 Mei lalu, MPP UiTM menyeru mahasiswa di universiti itu untuk mengenakan pakaian hitam dan memuat naik gambar dengan tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di media sosial sebagai protes terhadap rancangan untuk membuka laluan kepada pegawai perubatan bukan bumiputera menyertai program latihan teknikal pakar jantung yang dijalankan secara bersama dengan Institut Jantung Negara (IJN).
UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.
Namun, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shahrin Sahib menyifatkan kempen mahasiswa memakai pakaian hitam bukanlah satu bentuk bantahan memandangkan ia masih di peringkat cadangan.
Sebaliknya dia mendakwa ia sebagai salah satu cara mahasiswa untuk mengekspresikan jati diri mereka.
