Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelajar UiTM diseru berpakaian hitam bantah kemasukan bukan bumi
Diterbitkan:  May 15, 2024 2:59 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam esok sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Mereka turut meminta mahasiswa memuat naik gambar bersama tanda pagar #MahasiswaUiTMBantah di platform media sosial sebagai menyokong kempen yang dilancarkan sejak semalam.

“Objektif penubuhan UiTM adalah untuk memastikan mahasiswa kurang berkemampuan dalam kalangan bumiputera untuk mendapat akses di pengajian tinggi.

“Kami sebulat suara menyokong agar UiTM kekal dengan objektif asal penubuhannya iaitu untuk melindungi dan memajukan mahasiswa bumiputera sebagai benteng pertahanan keistimewaan dan kemajuan bangsa,” katanya.

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan Codeblue melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di situ.

Raja Amin mendedahkan universiti itu bersetuju membuka program berkenaan secara sementara kepada tujuh graduan bukan bumiputera.

Isu ini timbul apabila pelajar yang terlibat dalam Persekutuan Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh dalam Pembedahan Kardiotoraks (FRCS Ed) ditolak permohonan mereka dalam Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berikutan sijil itu tidak diiktiraf.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini turut meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Pada 8 Mei, Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata universiti itu tetap komited mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera ke institusi berkenaan.

Bagaimanapun, Shahrin berkata UiTM akan menerima apa sahaja keputusan kerajaan yang mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Mahasiswa PKR menyifatkan kenyataan MPP UiTM sebagai “gimik” untuk menakutkan bumiputera.

Jurucakap mereka, Afi Asif berkata MPP UiTM sepatutnya menjelaskan punca permasalahan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataanyang akan mengakibatkan kekeliruan buat mahasiswa serta orang awam, khususnya golongan bumiputera.

“Hal yang berbangkit berkenaan dengan kampus UiTM bakal dibuka sepenuhnya kepada bukan bumiputera adalah tidak benar dan songsang sama sekali.

“Walhal pihak Kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah memberikan kenyataan rasmi berkenaan ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS