Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno ingatkan Amanah jangan jadi 'seludang tolak mayang'
Diterbitkan:  Aug 16, 2024 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Pemuda Umno hari ini mengingatkan Amanah Johor supaya belajar mengenang budi mereka yang pernah berjasa kepadanya dan tidak menjadi ibarat kata peribahasa 'seludang tolak mayang'.

Menerusi satu kenyataan media, Naib Ketua Pemuda Umno Mohd Hairi Mad Shah menasihatkan sekutunya supaya tidak mengeluarkan kenyataan dangkal sehingga  mengugut-ugut dan menafikan keharmonian kerajaan perpaduan di Johor.

Teguran itu dibuat susulan ketegasan pendirian Ketua Amanah bahagian Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain yang mahu partinya bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan pada 28 September nanti.

Mohd Zuhan Mohd Zain

"Saya tertanya-tanya mengapa tiada angin dan tiada ribut, Ketua Amanah Kluang ini terus mengeluarkan kenyataan terbuka seolah-olah cuba mengugut dan cuba memporak perandakan hubungan harmoni yang sedia terjalin di negeri Johor ini.

"Dr Zuhan sudah lupakah? Belum masuk setahun pun PRK parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berlangsung dan ketika itu BN memilih pendirian berjiwa besar menerima calon dari Amanah untuk bertanding di dua kerusi ini, sedangkan sejak sekian lama BN bertanding dan meletakkan calon di kerusi sama.

"Justeru, janganlah cuba mengeluarkan kenyataan dangkal sehingga mengugut-ugut dan menafikan keharmonian yang sedia ada di negeri Johor," kata Mohd Hairi.

Amanah dan Umno masing-masing dilihat masih bertelagah mengenai calon yang akan dipertaruhkan dalam PRK Mahkota - yang terletak dalam kawasan parlimen Kluang, Johor - bulan depan.

Sebelum ini, Mohd Zuhan berkata, mereka bukannya cuba  mengabaikan semangat kerjasama antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN,  tetapi kerajaan perpaduan belum terwujud di Johor.

Setakat ini, Majlis Presiden PH yang bermesyuarat minggu lalu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai calon yang bakal mewakili kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi mengingatkan Amanah bahawa Johor mempunyai keunikannya tersendiri.

“Di Johor, sebelum wujud kerajaan perpaduan pun sudah sekian lama kita bergerak atas semangat Bangsa Johor, semua parti politik bergerak secara harmoni dan dalam Sidang Dewan Negeri juga berlangsung secara harmoni jika dibandingkan dengan negeri lain.

“Justeru, janganlah cuba mengeluarkan kenyataan dangkal sehingga mengugut-ugut dan menafikan keharmonian yang sedia ada di negeri Johor. Johor dengan cara Johor dan Johor ada keunikan tersendiri,” katanya.

Mohd Hairi juga mengingatkan kepada Amanah bahawa pada PRK Pulai dan Simpang Jeram tahun lalu, BN memilih pendirian berjiwa besar dengan menerima calon dari parti itu untuk bertanding di dua kerusi berkenaani, sedangkan sejak sekian lama mereka bertanding dan meletakkan calon di kerusi sama.

Malah, katanya seluruh jentera BN ketika itu turun padang dan membantu memenangkan kedua-dua calon Amanah itu.

Sehubungan itu, pemimpin Pemuda Umno itu meminta campur tangan kedua-dua mereka - iaitu ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat dan Adun Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman - untuk mengharmonikan keadaan.

"Suka untuk saya ajukan soalan kepada ahli parlimen Pulai, adakah YB dinafikan untuk terlibat di dalam mesyuarat tindakan pembangunan daerah?

"Begitu juga kepada Adun Simpang Jeram, adakah YB dinafikan menerima peruntukan dan terbabit dalam sebarang penglibatan urusan di peringkat kerajaan negeri? Adakah YB tidak dibenarkan masuk dan bercakap dalam mesyuarat tindakan pembangunan daerah?

"Justeru, saya sarankan ahli parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram dapatlah mengharmonikan keadaan dan memberi kata dua serta pencerahan kepada Dr. Zuhan ini dan ceritakan jugalah kepada beliau apakah yang jentera BN lakukan ketika membantu kempen di PRK Pulai dan Simpang Jeram," kata Mohd Hairi.

Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, pada pada 2 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Sept ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK DUN Mahkota. Jika terdapat pertandingan pemilih di kawasan terbabit akan mengundi bagi memilih pengganti Sharifah Azizah pada 28 Sept.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 Sharifah Azizah mengalahkan tiga calon lain untuk memenangi kerusi Mahkota dengan kelebihan 5,166 undi.

Sebelum itu dalam PRN terdahulu - yang dijalankan serentak dengan PRU ke-14 - kerusi Mahkota dimenangi calon Amanah, Muhamad Said Jonit, dengan majoriti 1,668 undi.

Mahkota dianggap kawasan selamat buat BN kerana sebelum 2018 tiada parti lain berjaya memenangi kerusi tersebut. Pengundi Melayu membentu lebih separuh daripada keseluruhan pemilih di kawasan berkenaan.

Untuk rekod ketika PRN Johor diadakan, kerajaan perpaduan belum dibentuk kerana ia hanya berlaku selepas PRU ke-15 yang berlangsung pada 19 Nov 2022, iaitu kira-kira lapan bulan selepas BN mentadbir negeri tersebut.

Mohd Zuhan berkata dalam kenyataan awalnya dia menegaskan bahawa Johor bukan ditadbir oleh kerajaan perpaduan sebaliknya digambarkan sebagai "berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS