Muhammad Shafee Abdullah menganggap kes 1MDB sebagai titik hitam pertama dalam kerjaya guamannya yang cemerlang.
Walaupun menyatakan dia dan anak guamnya, bekas perdana menteri Najib Razak, akur dan menghormati penghakiman itu, peguam tersebut bagaimanapun tidak berpuas hati.

"Saya sangat terkejut bahawa ini mungkin satu-satunya kes yang saya pernah kendali di mana pada peringkat ini saya tidak menang walaupun satu mata, tiada.
"Lupakan tentang kain, seurat benang pun saya tak menang," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Shafee juga menyifatkan ini sebagai "jarang berlaku jika bukan satu-satunya kes" yang "bukti khabar angin" diterima.
"Semua yang dikatakan diambil secara borong," katanya sambil menambah bahawa pihaknya telah mengemukakan hujah yang mereka percaya memerlukan pertimbangan yang serius.
Di sebalik apa yang berlaku, Shafee berikrar tidak akan mengalah dan akan meneruskan keadilan untuk anak guamnya.

"Tetapi kami tidak berputus asa, kami akan lawan kes ini, dan kami lebih bertekad kerana keputusan itu," katanya.
Shafee turut memaklumkan pihaknya menjangka membawa lebih banyak saksi sepanjang pembelaan.
"Ada beberapa saksi yang kita akan letakkan dalam keterangan saksi, beberapa yang lain akan disapina, bermakna mereka akan dipaksa untuk hadir (beri keterangan).
“Ada juga saksi-saksi bebas," katanya.
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan menyalahguna kedudukan bagi mendapatkan suapan dana RM2.3 bilion milik 1MDB 21 tuduhan pengubahan wang haram jumlah sama.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Najib kelihatan tenang selepas Hakim Sequerah membaca keputusan itu, di akhir kes pendakwaan.
Dia kemudian memilih untuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
