Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari jalanan ke kesukarelawanan - Kisah Mami Vin jadi aktivis HIV-AIDS

Bermula dari bekerja di jalanan, mak nyah atau bahasa Indonesianya ‘waria’ (gabungan perkataan pria dan wanita) yang dikenali sebagai Mami Vin kini dikenali sebagai sukarelawan dan aktivis HIV-AIDS di sekitar Daerah Istimewa Yogyakarta, di Indonesia.

Pendiri Yayasan Keluarga Besar Waria Yogyakarta, Vinolia Wakijo, 68, itu berkata perkhidmatan yang ditawarkan kini telah membantu 340 pesakit HIV-AIDS sejak 2006.

“Sebahagian besar dari mereka survive (bertahan) dan ada yang kembali ke keluarga masing-masing.

“Operasi kami tidak didanai pihak luar (negara) atau pemerintah (kerajaan Indonesia),” kata Vinolia.

“Kalau pemerintah daerah (Yogyakarta) cuma membantu mencukupi makan lima orang setiap hari.

“Yang lain kami tanggung sendiri,” tambahnya.

Antara kos yang perlu ditanggung, katanya, termasuklah sewa tahunan premis yang dijadikan pejabat serta rumah perlindungan - bermula dari 6 juta Rupiah pada tahun 2006, dan kini meningkat kepada 25 juta Rupiah ataupun kira-kira lapan ribu ringgit.

Sebelum mendirikan Yayasan Kebaya, Vinolia berkata dia berkhidmat selama 13 tahun sebagai sukarelawan Persatuan Keluarga Berencana Indonesia (PKBI), antara lain untuk mengedarkan kondom sebagai alat pencegahan jangkitan HIV-AIDS.

Jelasnya, permulaan sebagai aktivis didorong kesedaran peningkatan kadar jangkitan HIV-AIDS dalam kalangan komuniti transgender dan gay, bukan sahaja di Yogyakarta tetapi juga di seluruh dunia.

“Saya tidak mahu ada yang mati konyol (sia-sia) kerana HIV,” katanya sambil mendedahkan dia menghabiskan sebahagian besar usia muda bekerja di jalanan, setelah dipaksa keluar dari rumah keluarga.

Dalam sesi perkongsian disertai wakil media Malaysia dan Indonesia, Vinolia mendedahkan pengalaman pahit “digilir tiga orang dalam keadaan mabuk”, “tidak dibayar” dan akhirnya ditinggalkan di tepi jurang.

Setelah berhenti dan hilang punca pendapatan, Vinolia berkata dia mengambil upah mencuci pakaian mahasiswa dari beberapa universiti di daerah yang turut dikenali sebagai kota pelajar.

“Satu bulan dapat 50,000 Rupiah. Di tahun-tahun itu, makan untuk sehari 3,000 Rupiah.

“Jadi sukarelawan PKBI, satu kali turun lapangan dapat wang pengangkutan 3,000 Rupiah. Satu bulan turun lapan kali, jadi 24,000 Rupiah.

“Penghasilan satu bulan total 74,000 Rupiah, padahal hanya untuk makan sudah 90,000 Rupiah,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk perbandingan, kadar gaji minimum Daerah Istimewa Yogyakarta pada tahun 1993 adalah sejumlah 76,500 Rupiah atau RM21 mengikut kadar pertukaran semasa.

Menyedari permintaan untuk khidmat khusus bagi pesakit HIV-AIDS, termasuk di kalangan transgender, Yayasan Kebaya kini menampung 13 penghuni.

Bermula dari memberikan perlindungan terhadap ancaman kesihatan dan serangan fizikal, Vinolia mendedahkan kempen kesedaran Yayasan Kebaya bersama golongan transgender kini juga meliputi kesan penggunaan media sosial, antara lain untuk ‘mengamen’ atau membuat persembahan bagi tujuan meminta sumbangan wang.

“Saya datang ke rumah mereka, atau kalau lagi ada kegiatan bersama.

“Memberikan nasihat termasuk supaya tidak sampai membahayakan diri dan teman-teman,” katanya.

Secara khusus, Vinolia mengulas sekurang-kurangnya dua kes di mana individu mak nyah dari Indonesia dan Malaysia - masing-masing dengan ribuan pengikut - membuat hantaran di media sosial semasa menunaikan ibadah umrah dalam keadaan berpakaian perempuan.

“Kalau saya berpendapat, kita (transgender) tetap terlahir sebagai jenis kelamin laki-laki.

“Jadi ya harusnya kalau umrah atau naik haji itu sebagai lelaki, sesuai jenis kelamin,” katanya yang turut mengakui bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan kelompok transgender.

“Buat yang tetap memilih umrah sebagai perempuan, mereka mempunyai pilihan untuk tidak mendedahkan (di media sosial),” tambahnya.

Dia menegaskan individu transgender tidak seharusnya dilarang dari beribadah sesuai keyakinan masing-masing, sebaliknya mereka perlu dibimbing agar tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif.

Dia juga mengakui bahawa golongan transgender memerlukan “keberanian lebih” sebelum mengambil keputusan untuk berangkat ke tanah suci Makkah.

“Perlu keberanian ekstra untuk ke tanah suci. Secara peribadi saya sendiri menolak jika ada pihak yang menawarkan untuk menaja saya ke Makkah.

“Bagi saya, menunaikan haji adalah tanggungjawab yang berat.

“Saya hanya ingin hidup seperti kehendak hati, berguna untuk sesama (manusia) dan ingin melihat orang lain yang saya tolong tersenyum,” katanya.

Selain dari Yayasan Kebaya, terdapat juga dua lagi organisasi - Pondok Pesantren Waria Al-Falah dan Waria Crisis Centre - yang beroperasi dari Daerah Istimewa Yogyakarta, satu-satunya provinsi atau wilayah di Indonesia yang masih diperintah oleh seorang raja.

Antara perkhidmatan ditawarkan secara percuma termasuk ‘ruang selamat’ untuk beribadah dan mendalami ilmu agama Islam; penjagaan transgender lanjut usia; akses peluang pendidikan dan kerjaya; serta advokasi masyarakat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS