Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendedah maklumat: Menantu Musa Aman tawar penyelesaian tutup mulut saya
1

EKSKLUSIF | Pemberi maklumat yang mendedahkan siri video yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dalam skandal rasuah mendakwa Mohd Arifin Mohd Arif menantu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman telah menawarkan penyelesaian untuk menutup mulutnya.

Menurut ahli perniagaan itu, tawaran penyelesaian yang didakwa termasuk pemulihan lesen penerokaan mineral yang telah dibatalkan dengan syarat dia mengeluarkan kenyataan umum bahawa dana yang bertukar tangan tersebut adalah sumbangan politik.

Dia turut berkongsi draf kenyataan media yang dikatakan telah disediakan untuknya, menyatakan bahawa dirinya membuat "sumbangan" serupa kepada Adun daripada Umno, Star dan PBS.

Kenyataan itu, yang dihantar kepada Malaysiakini, juga menggesa dia untuk memohon maaf kepada Adun yang didakwanya menerima rasuah, termasuk Arifin, sebagai balasan menyokong permohonan lesennya.

Kenyataan itu turut menyeru agar dia menggambarkan insiden antara dirinya dengan Ketua Menteri Hajiji Noor sebagai “salah faham” serta menyatakan dia bersedia untuk membetulkan rekod.

Malaysiakini telah menghubungi Hajiji, Arifin dan Adun lain yang disebut dalam dakwaan berkenaan untuk mendapatkan komen.

Kronologi kejadian

Ahli perniagaan itu mendakwa selepas Malaysiakini menerbitkan tangkap layar mesej WhatsApp antara dirinya dengan Adun berkenaan pada akhir Disember, Arifin menghubungi pengerusi syarikatnya, seorang bekas pegawai tinggi kerajaan yang dikenali sebagai "Dato A".

Arifin (gambar atas) yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi Sabah, didakwa menghubungi Dato A selepas seorang wartawan Malaysiakini meminta komennya mengenai mesej yang bocor itu.

"Arifin menawarkan penyelesaian dengan memulihkan semua lesen.

“Dia juga meminta Malaysiakini supaya tidak menerbitkan lagi artikel berkaitan, termasuk yang membabitkan mesej WhatsAppnya," dakwa pemberi maklumat itu.

Dakwanya lagi, Arifin telah menghubungi seorang lagi Adun yang terlibat dalam skandal itu Masidi Manjun dan kedua-duanya merancang untuk bertemu Hajiji bagi menyelesaikan krisis tersebut.

"Saya bersetuju untuk mempertimbangkan tawaran itu atas rasa hormat kepada Dato A. Namun, saya memberitahunya bahawa saya tidak boleh menghalang Malaysiakini daripada menerbitkan artikel tersebut," tambahnya.

Pemberi maklumat itu mendakwa tawaran terbabit satu usaha untuk mengelakkan gangguan politik menjelang majlis angkat sumpah Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 1 Januari 2025.

Dia turut mendakwa Arifin yang juga naib presiden PGRS, menghubungi Dato A sekali lagi pada 27 Disember selepas Malaysiakini menerbitkan lebih banyak artikel mengenai mesej WhatsApp yang didakwa itu.

"Sekali lagi, dia meminta Dato A supaya saya menghentikan pendedahan itu. Saya menolak kerana tidak dapat menghubungi editor Malaysiakini sepanjang cuti perayaan," katanya.

Arifin didakwa menyatakan dia telah diberi mandat untuk berunding dengan pemberi maklumat melalui Dato A dan usaha sedang dilakukan memulihkan lesen penerokaan mineral berkenaan.

Namun, selepas Malaysiakini menerbitkan lebih banyak laporan pada 28 Disember, Arifin dilaporkan menghubungi Dato A sekali lagi untuk mengadu.

"Arifin menuduh saya tidak ikhlas dalam menyelesaikan perkara ini. Berdasarkan nasihat Dato A, saya bersetuju untuk berdiam diri. Namun, saya meminta ‘jaminan’ daripada Arifin melalui Dato A," dakwanya.

‘Arifin tawar letak jawatan jika rundingan gagal’

Pada 29 Disember, selepas berbincang dengan Dato A, Arifin didakwa mengemukakan cadangan baru.

"Arifin berkata dia akan meletakkan jawatan dalam kabinet negeri jika lesen tidak dipulihkan. Namun, dia meletakkan syarat saya mesti mengeluarkan kenyataan media mengatakan keseluruhan insiden tersebut hanyalah salah faham," dakwa pemberi maklumat itu.

Keesokan harinya, pada 30 Dis, pendedah maklumat mendakwa Arifin bersama dengan Adun Sindumin, Yusof Yacob, yang juga dikaitkan dalam skandal itu, pergi ke rumah Dato A untuk berbincang lebih lanjut.

"Mereka berdua menyerahkan kenyataan media yang telah disediakan dan saya diminta membacanya.

"Saya diberitahu bahawa selepas saya mengeluarkan kenyataan itu, lesen saya akan dikembalikan," dakwanya.

Pada 31 Disember, ahli perniagaan itu mendakwa Arifin membawa Dato A dan seorang lagi pengerusi syarikat, yang juga merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan dan dikenali sebagai "Dato R", sebagai saksi ke kediaman Hajiji di Likas.

"Apabila mereka bertiga tiba di sana, mereka mendapati ramai orang berada di dalam rumah Hajiji.

"Oleh kerana keadaan tidak sesuai, Dato A dan Dato R tidak masuk, sebaliknya hanya Arifin yang masuk untuk bertemu Hajiji bagi mendapatkan pengesahan mengenai pemulihan lesen.

"Selepas 30 minit, Arifin keluar dari rumah dan membawa Dato A serta Dato R ke rumahnya yang berdekatan. Menurut Arifin, Hajiji bersetuju untuk mengembalikan lesen tersebut, tetapi nama syarikat perlu ditukar, dan satu permohonan baru perlu dikemukakan bagi mengelakkan sebarang kontroversi."

"Susulan itu, Dato A meminta pengesahan lanjut daripada Arifin di hadapan Dato R, dengan bertanya apakah jaminan yang boleh diberikan oleh Arifin sekiranya Hajiji tidak menepati janjinya.

"Arifin memberi jaminan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet jika perkara itu berlaku," dakwanya.

Tolak tawaran, pilih rayuan

Namun, ahli perniagaan itu berkata dia menolak tawaran untuk menukar nama syarikatnya berdasarkan tiga faktor:

  • 1. Syarikat sedia ada telah menandatangani perjanjian usaha sama dengan pelabur.

  • 2. Menubuhkan syarikat baru memerlukan masa, kos tinggi dan proses yang kompleks.

  • 3. Memohon lesen baharu akan mengambil masa lebih lama berbanding proses rayuan.

"Jadi, saya menolak cadangan itu dan memilih kaedah rayuan untuk mendapatkan semula kelulusan

“Oleh itu, saya menolak cadangan tersebut dan mengekalkan kaedah rayuan untuk mendapatkan semula kelulusan. Dato A telah memaklumkan perkara ini kepada Arifin, dan Arifin menyatakan bahawa beliau memahami situasi tersebut serta bersetuju dengan langkah seterusnya.

"Pada 1 Januari 2025, saya telah menyediakan semua surat rayuan untuk dikemukakan kepada Hajiji dan menyerahkannya ke rumah Dato A pada 3 Januari.

"Dato A menghantar semua surat tersebut kepada Arifin pada 4 Januari dan meminta 'nota bidai' (ulasan) dalam minit oleh Hajiji. Namun, Arifin memberitahu Dato A bahawa beliau akan menemani Hajiji menunaikan Umrah dari 6 Januari hingga 20 Januari dan tidak dapat melakukan apa-apa dalam tempoh itu," dakwanya.

8 Adun yang didakwa pendedah maklumat terkait skandal.

Pemberi maklumat itu mendakwa pada 21 Januari, Arifin pergi ke rumah Dato A untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

"Saya dimaklumkan oleh Dato A bahawa Arifin kelihatan cuba mengelak daripada janjinya sebelum ini.

"Keesokan harinya, saya meminta Dato A untuk menyampaikan mesej kepada Arifin supaya menepati janjinya dan meletakkan jawatan sekiranya lesen tidak dikembalikan."

"Dato A menyampaikan mesej saya kepada Arifin pada 23 Januari apabila mereka bertemu di bangunan Tabung Haji di Kota Kinabalu."

"Namun, Arifin memberi alasan kerana saya tidak mengeluarkan kenyataan media (yang menyebut wang tersebut sebagai sumbangan politik), maka beliau tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan," dakwa ahli perniagaan itu.

'Saya tak pernah percaya tawaran itu benar'

Ahli perniagaan itu memberitahu Malaysiakini dia tidak pernah percaya lesen tersebut akan dikembalikan, tetapi pada awalnya memilih untuk berdiam diri atas rasa hormat kepada Dato A dan pengarah syarikat lain.

"Adalah mustahil bagi mereka untuk mengembalikan lesen tersebut. Bagaimana mereka akan menjelaskannya?

"Pihak pembangkang pasti akan mengambil kesempatan dan dengan pilihan raya negeri yang semakin hampir, mereka tidak mampu mengambil risiko ini.

"Selain itu, bagaimana mereka akan menjelaskan kandungan video dan mesej WhatsApp yang bocor? Perbualan tersebut jelas menunjukkan pertukaran wang sebagai balasan untuk lesen.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi. Ia bukan sumbangan politik," tambahnya.

Berkenaan dakwaan "penyelesaian" tersebut, ahli perniagaan itu berkata selain mempunyai dua eksekutif tertinggi syarikatnya sebagai saksi, dia juga memiliki tangkap layar WhatsApp untuk menyokong dakwaannya.

Dakwaan terbaru ini muncul susulan pengumuman oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada 25 Januari bahawa siasatan skandal perlombongan itu telah selesai.

Sebelum ini, Hajiji menafikan sebarang salah laku dalam pentadbirannya, menegaskan tuduhan tersebut cubaan untuk mencemarkan reputasi dirinya dan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS