Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Warisan soal ‘kini 4R’ ke?
Diterbitkan:  Feb 4, 2025 2:56 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, mempersoalkan sama ada terdapat satu lagi “R” yang ditambah kepada senarai isu sensitif 3R - kaum, agama, dan raja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog itu mempersoalkan jika tambahan "R" baharu itu merujuk kepada "rasuah".

“Dengan ringkas: race (kaum); religion (agama); royalty (raja-raja) dan rasuah?” katanya  dalam satu hantaran di Facebook ketika mengulas mengenai surat guaman dari Sabah Mineral Management (SMM) kepada Malaysiakini.

“Kepada yang sensitif, jangan marah sebab ini hanya soalan dan kebetulan.

“Jika ada sekatan perbincangan ngaam-ngaam Isu hangat adalah berkaitan dengan isu "rasuah" (R)...,” tulisnya.

Firma guaman yang mewakili SMM, sebuah syarikat milik kerajaan negeri, telah memberi amaran kepada Malaysiakini mengenai prosiding penghinaan mahkamah berhubung artikel portal berita itu semalam mengenai perkembangan terbaru dalam skandal rasuah di negeri tersebut.

Firma itu mendakwa telah memperoleh injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan saman SMM terhadap bekas CEO-nya, Jontih Enggihon, dan pihak ketiga luar, Tei Jiann Chieng.

"Kami mengambil maklum dengan kebimbangan bahawa artikel tersebut mengandungi maklumat dan rujukan kepada proses pelesenan perlombongan, yang merupakan subjek dalam prosiding undang-undang yang sedang berjalan dan merupakan pelanggaran terhadap injunksi tersebut.

"Di bawah undang-undang Malaysia, termasuk prinsip penghinaan mahkamah, mana-mana pihak ketiga yang mempunyai pengetahuan sebenar mengenai perintah injunksi dan secara sedar membantu atau memudahkan pelanggaran perintah itu boleh dikenakan tindakan penghinaan," kata firma Chin Lau Wong & Foo dalam surat kepada Malaysiakini malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Warisan, Terence Au dalam satu kenyataan berasingan mengkritik surat amaran SMM kepada Malaysiakini, yang dianggapnya sebagai cubaan untuk menutup saluran berita daripada melaporkan perkara yang mempunyai kepentingan awam.

Terence Au

Dia turut mempersoalkan sama ada tindakan itu merupakan satu proses penyalahgunaan keadilan dan meminta SPRM melancarkan siasatan.

“Pemerhati berpendapat ini boleh menjadi penyalahgunaan proses mahkamah oleh SMM dan kerajaan negeri untuk menghalang siasatan dan pendedahan (dakwaan salah laku).

“Dakwaan yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah adalah perkara serius yang memerlukan ketelusan, bukan ancaman tindakan undang-undang.

"SPRM perlu menyiasat sama ada amaran undang-undang ini adalah satu lagi penyalahgunaan proses yang bertujuan untuk menutup perbuatan salah. Badan kehakiman mesti kekal sebagai pembela keadilan, bukan disalahgunakan sebagai alat untuk menutup mulut media," katanya.

Laporan Malaysiakini semalam berkisar mengenai dakwaan pemberi maklumat dalam skandal rasuah Sabah bahawa dia menerima tawaran untuk pemulihan lesen penerokaan mineral miliknya yang telah dibatalkan tetapi telah menolak tawaran tersebut.

Tawaran itu dengan syarat dia mengeluarkan kenyataan umum bahawa dana yang bertukar tangan tersebut adalah sumbangan politik.

Dia juga perlu memohon maaf kepada semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dikaitkan dalam skandal itu, dan menggambarkan apa yang berlaku antara dirinya dan Ketua Menteri Hajiji Noor adalah sebagai satu "salah faham".

Hajiji adalah pengerusi SMM.

Dakwaan terbaru ini muncul selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengumumkan pada 25 Januari lalu bahawa suruhanjaya itu telah selesai menjalankan  siasatannya mengenai skandal tersebut.

Sebelum ini, Hajiji menafikan sebarang salah laku dalam pentadbirannya, dengan mendakwa bahawa tuduhan rasuah itu adalah usaha untuk mencemarkan reputasinya  dan kerajaan negeri menjelang pilihan raya negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS