Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin memberi amaran keras kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menegaskan supaya tidak mengaitkan Umno negeri dengan skandal rasuah yang didakwa berlaku.
Dia menggesa GRS mengakui Adun mereka terlibat dalam isu tersebut dan tidak cuba memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan rakyat.
“Percubaan (dakwaan) untuk menyeret Umno itu langkah terdesak bagi menutup kelemahan mereka sendiri,” katanya.
Bung mengulas laporan Malaysiakini pada Isnin yang mendakwa pemberi maklumat yang membongkar skandal ini telah ditawarkan penyelesaian.
Ditawar pulihkan lesen dengan syarat
Ahli perniagaan yang membuat pendedahan tersebut mendakwa dia telah dijanjikan pemulihan lesen penerokaan mineral yang dibatalkan, dengan syarat dia mengisytiharkan wang yang terlibat merupakanderma politik.
Dia juga didakwa diminta mengeluarkan kenyataan media bahawa dia telah memberi dana yang serupa kepada Adun Umno, Star dan PBS.
Mengulas lanjut, Bung berkata lebih memalukan apabila video yang tersebar turut menampilkan bekas pemimpin Umno yang telah melompat parti semasa krisis politik Sabah pada 2022 dan berikrar menyokong Ketua Menteri Hajiji Noor.
Katanya, Umno Sabah bersyukur kerana pemimpin seperti itu telah tersingkir.
“Kami tidak mahu pemimpin yang rakus dan tidak berprinsip dalam parti.
“Umno kini lebih bersih tanpa mereka,” tambahnya.

Empat bekas Adun Umno yang dikaitkan dengan skandal ini:
1. Shahelmey Yahya – Timbalan Ketua Menteri II Sabah
2. Andi Muhammad Suryady Bandy – Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah
3. Yusof Yacob – Adun Sindumin
4. Mohd Arsad Bistari – Adun Tempasuk
Bung pun ada kes rasuah
Bung, yang juga ahli parlimen Kinabatangan sedang menghadapi pertuduhan rasuah.
Pada November lalu, mahkamah mengarahkan Bung dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad membela diri atas pertuduhan rasuah dan bersubahat dalam pelaburan RM150 juta Felcra.
Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menolak dakwaan rasuah terhadap kerajaannya dan menyifatkannya sebagai cubaan mencemarkan imej GRS menjelang pilihan raya umum.
Pada 21 Januari, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan SPRM menyelesaikan siasatan ke atas dua kes berkaitan skandal perlombongan ini.
Selain video yang tersebar, SPRM juga menyiasat pemberi maklumat serta bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM), Jontih Enggihon atas dakwaan penipuan.
