Adun Membakut, Mohd Arifin Arif telah membuat laporan polis mendakwa dirinya difitnah, susulan laporan Malaysiakini pada Isnin yang mendakwa seorang pemberi maklumat telah menuduhnya cuba menjadi orang tengah untuk menyelesaikan skandal rasuah yang melibatkan beberapa Adun Sabah.
Menurut Daily Express, laporan polis tersebut dibuat di ibu pejabat polis Kota Kinabalu pada petang tadi.
Portal itu turut menyiarkan video Arifin membaca kenyataan media, dengan dia menolak dakwaan tersebut berkata ia “tidak tepat, mengelirukan, mengandungi fakta yang salah dan berunsur fitnah”.
"Oleh yang demikain, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang memfitnah dan bersekongkol dengan kumpulan kartel ini yang cuba memonopoli lesen perlombongan di Sabah,” katanya.
Arifin, yang juga menantu kepada Musa Aman, turut mendakwa Malaysiakini tidak menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan pemberi maklumat itu sebelum menerbitkan laporan.
Malaysiakini hubungi Arifin, tiada jawapan
Untuk rekod, Malaysiakini telah menghantar permintaan komen kepada Arifin mengenai isu ini pada pukul 9.18 pagi Isnin, termasuk kepada beberapa individu lain yang dikaitkan dalam laporan itu.
Bagaimanapun, tiada sebarang respons diterima sebelum laporan diterbitkan pada pukul 4 petang hari yang sama.
Dalam laporan Malaysiakini, pemberi maklumat – yang juga seorang ahli perniagaan – mendakwa Arifin telah menemuinya dengan tawaran untuk memulihkan lesen penerokaan mineral syarikatnya yang telah dibatalkan.
BACA BERKAITAN:
Pendedah maklumat: Menantu Musa Aman tawar penyelesaian tutup mulut saya
Sebagai pertukaran, pemberi maklumat itu perlu membuat kenyataan umum bahawa dana yang terlibat adalah “derma politik”, dan apa yang berlaku antara beliau dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, hanyalah satu salah faham.
Dalam kenyataan media yang dikatakan telah disediakan untuknya, pemberi maklumat itu juga sepatutnya memohon maaf kepada Adun yang telah dikaitkannya dalam skandal tersebut serta menyatakan dia telah membuat “sumbangan” yang serupa kepada Adun daripada Star, PBS dan Umno Sabah.
Sebelum ini, pemberi maklumat tersebut telah menerbitkan beberapa video yang menunjukkan beberapa Adun Sabah berbincang mengenai rasuah, khususnya menerima suapan sebagai balasan untuk menyokong permohonan lesen penerokaan sumber mineral syarikatnya.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menyangkal dakwaan video tersebut dengan mendakwa ia telah diedit dan menafikan sebarang salah laku dalam pentadbirannya.
Namun, Hajiji kemudian mencadangkan perbincangan dalam video tersebut mungkin berkaitan dengan derma politik.
