mk-logo
Berita
Pemuda DAP: K'jaan bina tembok pemisah kaum?
Diterbitkan:  Feb 6, 2025 8:15 AM
Dikemaskini: 5:35 AM

Beberapa pemimpin Pemuda DAP menggesa kerajaan mengekalkan status quo berkenaan cadangan Menteri Hal Ehwal Agama Na’im Mokhtar untuk merangka garis panduan baru buat umat Islam yang menghadiri majlis diadakan di tempat ibadat bukan Islam.

Mereka memberi amaran garis panduan ini boleh memperdalam jurang antara orang Islam dan bukan Islam dengan menghadkan peluang berinteraksi serta memupuk pemahaman dan keharmonian antara kaum.

“Pemuda DAP menegaskan garis panduan seperti ini tidak perlu dan hanya menambah beban birokrasi terhadap penganjur yang ikhlas mahu mengadakan aktiviti untuk mempromosikan budaya dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama,” kata Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong.

Dia turut memuji keterbukaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menghadiri Perarakan Chingay di Johor, serta kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sambutan Tahun Baru Cina di sebuah kuil Buddha.

“Kebijaksanaan, keterbukaan, dan kesederhanaan yang ditunjukkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor membuktikan model hubungan antara Muslim dan bukan Muslim di Malaysia sudah harmoni dan tepat.

“Mengikut teladan sultan-sultan ini, rakyat telah lama meraikan perayaan masing-masing dengan keterbukaan dan hormat tanpa menimbulkan konflik.

“Mengadakan acara di rumah ibadat bukan Islam tidak mengancam akidah mana-mana pihak, sebaliknya mengukuhkan perpaduan rakyat meskipun berbeza latar belakang,” katanya.

Sebaliknya, Woo menggesa kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak acara antara kaum dan agama bagi meningkatkan pemahaman dan rasa hormat antara satu sama lain, bukan memperkenalkan sekatan baru.

Ketua Biro Dasar Awam Pemuda DAP, Jason Ng (gambar atas) turut bersetuju dengan Woo, menegaskan rakyat Malaysia telah lama meraikan perayaan bersama sejak merdeka.

“Sekarang, kerajaan mahu memperkenalkan garis panduan baru.

“Adakah ini bermaksud kerajaan mahu membina tembok pemisah antara kaum?

“Ini hanya akan melemahkan perpaduan dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Sekatan sebar agama pada orang Islam

Dia juga menegaskan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menghalang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.

Selain itu, Jason turut menyoal Na’im jika dia telah berbincang dengan kabinet dan pihak berkepentingan sebelum menggubal garis panduan tersebut.

“Masa depan Malaysia milik semua rakyat, bukan ekstremis.

“Kita perlu mempertahankan kepelbagaian dan keharmonian, bukan menuju ke arah perpecahan dan pengasingan,” katanya.

Dalam jawapan bertulis di parlimen kelmarin, Na’im mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baru bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Garis panduan tersebut termasuk syarat mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

Antara unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam termasuk ucapan dan lagu berkaitan agama; risalah agama, persembahan atau ucapan yang menghina Islam; penganjuran acara ketika waktu solat umat Islam; lokasi acara yang berdekatan dengan surau, masjid, tanah perkuburan Islam atau tanah wakaf; serta premis yang mengandungi simbol agama bukan Islam.

Na’im berkata garis panduan ini akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada penghujung bulan ini.

Menteri itu menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Saad Yahaya (gambar atas) yang meminta Jabatan Perdana Menteri memberikan garis panduan berkenaan sambutan keagamaan bukan Islam bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pihak yang membangkitkan isu mengenai perayaan pelbagai kaum di negara ini.

Anwar sebaliknya berkata, negara ini sepatutnya menjadi model perpaduan kaum yang kukuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pemuda DAP Melaka, Cassel Krishnan mengkritik cadangan garis panduan ini sebagai tidak masuk akal, tidak praktikal dan hanya menimbulkan perpecahan.

Sebagai contoh, dia menyoroti majlis pengebumian, dengan rakan-rakan dan kenalan daripada pelbagai kaum dan agama biasanya hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

“Di bawah garis panduan baharu ini, nampaknya keluarga si mati perlu memaklumkan Jakim lebih awal, mendapatkan kelulusan bertulis, menanggalkan semua simbol keagamaan, serta menghentikan bacaan doa atau upacara akhir sebelum rakan Muslim dibenarkan masuk.

“Ini benar-benar tidak masuk akal.

“Garis panduan ini bukan sahaja tidak praktikal, tetapi juga serangan berbahaya terhadap fabrik masyarakat majmuk negara ini,” tegasnya.

Cassel turut menggesa Na’im memberikan penjelasan dan berbincang secara terbuka dengan semua pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan sebarang pengumuman lanjut mengenai isu ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS