Pada hari Sabtu, pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar di Sri Vijaya Puram (Port Blair), Kepulauan Andaman dan Nicobar, India menemui beberapa ekor monyet bayi yang disorokkan di dalam bagasi dua penumpang yang tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Lapan ekor monyet itu telah diselamatkan dan diserahkan kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar dan Hutan, Pentadbiran Andaman dan Nicobar, sementara menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa, menurut laporan Nicobar Times yang memetik sumber.
Namun, tiada maklumat dikeluarkan mengenai spesies monyet tersebut atau tindakan yang diambil terhadap penumpang yang terlibat.
Hasil semakan Malaysiakini mendapati AirAsia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Port Blair, dan pesawatnya dengan nombor penerbangan AK 55 telah melalui laluan tersebut pada 8 Februari 2025.

AirAsia mengendalikan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Port Blair setiap hari Selasa, Khamis, dan Sabtu.
Malaysiakini telah menghubungi AirAsia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk mendapatkan komen.
Disembunyikan dengan licik
Rampasan di Port Blair merupakan kes kedua yang dilaporkan melibatkan penyeludupan hidupan liar melalui KLIA dalam tempoh seminggu.
Pada Selasa lalu (4 Februari 2025), seorang warganegara India yang dalam perjalanan dari Malaysia ke India ditahan di Lapangan Terbang Mumbai kerana menyeludup lima ekor anak siamang di dalam bagasi kabinnya.

Menurut Kastam Mumbai, primat tersebut "disembunyikan dengan licik" di dalam kotak plastik berkandang sebelum dimasukkan ke dalam beg troli.
Abdul Rahman Ahamaed, yang berasal dari Chennai, ditangkap sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, Mumbai, selepas berlepas dari Kuala Lumpur, menurut laporan Press Trust India.
“Daripada lima ekor siamang yang ditemui, tiga telah mati manakala dua lagi berada dalam keadaan sangat kritikal,” kata seorang pegawai yang dilaporkan.
Pegawai tersebut turut menyatakan Rahman telah ditahan di bawah Akta Kastam India dan Akta Perlindungan Hidupan Liar sementara siasatan lanjut dijalankan.

Siamang yang masih hidup telah diserahkan kepada pasukan pakar hidupan liar di Resqin Association for Wildlife Welfare di Mumbai untuk mendapatkan rawatan perubatan segera, penjagaan dan pemulihan, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar India.
Pegawai itu juga berkata haiwan yang diselamatkan akan dihantar pulang ke negara asalnya setelah mereka pulih dan berada dalam keadaan stabil.
Siamang haiwan terancam Asia Tenggara
Siamang gibbon spesis primat arboreal yang sangat terancam dan berasal dari hutan di Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Spesies ini disenaraikan dalam Lampiran I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) dan Jadual Empat Akta Perlindungan Hidupan Liar India.
Dua kes terbaru ini menambah senarai panjang penahanan penumpang dari Kuala Lumpur oleh pihak berkuasa India kerana menyeludup hidupan liar dalam bagasi mereka.

Pada Oktober lalu, seorang wanita Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Chennai kerana menyeludup empat ekor siamang gibbon dan 52 ekor iguana di dalam beg pakaiannya.
Kes tersebut merupakan kes ketiga penyeludupan dari Kuala Lumpur ke Chennai yang berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa India antara Ogos hingga Oktober 2024.
BACA BERKAITAN:
Kastam bingung KLIA 'laluan panas' seludup haiwan liar
Pada 8 Oktober, Jabatan Kastam Chennai merampas 3,220 batang rokok elektronik, dua unit iPhone 16 dan dua rantai emas seberat 700g—kesemuanya bernilai INR10.2 juta (RM520,000).
Barang-barang ini dibawa oleh empat individu yang tiba dari Kuala Lumpur.

Pada 27 September, jabatan tersebut berjaya memintas cubaan menyeludup hampir 5,000 ekor kura-kura, yang dibawa oleh penumpang dari Kuala Lumpur.
Menurut jabatan itu, rampasan tersebut melibatkan 4,967 ekor kura-kura ‘red-eared slider’ dan 19 ekor kura-kura albino red-eared slider.
Sebulan sebelum itu, kastam India merampas 778 ekor kura-kura bintang India dari bagasi seorang penumpang yang berlepas dari Chennai ke Kuala Lumpur.
Pada 28 Disember 2024, pegawai daripada Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF), iaitu pasukan polis bersenjata pusat di India di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, berjaya merampas emas yang diseludup daripada seorang penumpang transit yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Chennai di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar.