Jabatan Kastam Diraja Malaysia bingung dengan laporan dari India yang mendakwa penyeludup yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditangkap kerana membawa hidupan liar di dalam beg kabin mereka di lapangan terbang India.
Minggu lalu, pegawai kastam India dilaporkan berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup primat bayi yang disorokkan di dalam beg pakaian penumpang yang berlepas dari KLIA ke Mumbai pada 4 Februari dan ke Sri Vijaya Puram (Port Blair) pada 8 Februari.
Walaupun butiran mengenai kes di Port Blair masih kurang jelas, pihak berkuasa Mumbai berkata bahawa siamang (gibbon) yang diselamatkan itu disorokkan dalam bekas plastik di dalam beg troli yang dibawa ke dalam kabin oleh penumpang pada 4 Februari.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Anis Rizana Mohd Zainudin, menegaskan perkara ini tidak mungkin berlaku kerana pegawai kastam menggunakan pengimbas terkini yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mempunyai keupayaan pengesanan yang lebih canggih.

“Kastam hanya mengimbas bagasi tangan atau bagasi kabin yang beratnya tujuh kilogram atau kurang. Kami juga menggunakan pengimbas AI yang mempunyai sistem pengesanan lebih baik,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagasi daftar masuk bidang kuasa MAHB
Anis memberi respons terhadap pertanyaan Malaysiakini berhubung laporan berita di India mengenai penyeludup hidupan liar yang ditangkap oleh pihak berkuasa kastam India di lapangan terbang negara itu selepas tiba dari Malaysia dengan membawa haiwan liar dalam bagasi tangan atau kabin mereka.
BACA BERKAITAN:
India gagalkan cubaan kedua seludup haiwan dari KL dalam seminggu
Sementara itu, Anis (gambar bawah) berkata JKDM tidak bertanggungjawab mengimbas bagasi daftar masuk kerana ia berada di bawah bidang kuasa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) manakala sebarang perkara berkaitan hidupan liar di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Pengurusan bagasi di KLIA di bawah bidang kuasa MAHB manakala hidupan liar di bawah Perhilitan. Sila rujuk kepada kedua-dua pihak berkuasa tersebut. Sila semak dengan mereka,” katanya.
Pada September 2024, JKDM mula menggunakan 40 mesin pengimbas bagasi kabin berteknologi AI bernilai RM40.72 juta di pintu masuk utama negara bagi memperkukuh kawalan keselamatan.
Mesin pengimbas ini dipasang di seluruh negara pada Mei dan Jun tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan pengimbas yang beroperasi di pintu masuk Malaysia sebanyak 66 unit.
Kastam mendakwa sejak mesin pengimbas baru ini beroperasi, pihaknya mengesan beberapa kes melalui analisis imej imbasan oleh pegawai bertugas pada Jun dan Ogos tahun lalu.
Tangkap kes seludup
Kes pertama berlaku di Pusat Mel dan Kurier KLIA melibatkan lapan kes, termasuk rampasan ganja dan produk kanabis bernilai RM577,625.20.
Kes kedua membabitkan cubaan menyeludup wang tunai berjumlah RM65,160.00 dan 5.252 kg heroin bernilai RM492,375.00 melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar, Perlis.
JKDM juga sedang dalam proses menggantikan pengimbas lama secara berperingkat dengan model baru yang lebih canggih dan berteknologi tinggi.

Selain itu, kastam telah memperoleh pengimbas badan yang menggunakan teknologi gelombang Terahertz, yang mampu mengesan objek tersembunyi pada atau di dalam badan penumpang, termasuk bahan letupan dan senjata.
Anis berkata teknologi ini memudahkan pemeriksaan yang lebih pantas, membolehkan penumpang melalui mesin pengimbas tanpa perlu berhenti, sekali gus mempercepatkan pergerakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.
Pemeriksaan kebih ketat, anjing pengesan
Ketika dihubungi, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) enggan memberikan maklum balas mengenai kes terbaru di India.
MAHB menegaskan semula kenyataannya pada tahun 2023, yang menekankan pihaknya telah memperketat langkah-langkah membanteras penyeludupan hidupan liar melalui lima tahap pemeriksaan serta pemeriksaan tambahan untuk penerbangan yang disasarkan.

MAHB juga menyatakan pihaknya berpandukan kepada Piawaian dan Amalan yang Disyorkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Selain itu, MAHB telah menyediakan dua ekor anjing pengesan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membantu membanteras penyeludupan hidupan liar.
MAHB turut mengambil langkah untuk menangani isu penyeludupan hidupan liar melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan dan agensi berkaitan dalam penguatkuasaan, termasuk meningkatkan pemeriksaan keselamatan serta pemeriksaan bagasi bagi penerbangan yang disasarkan.
“Tindakan menangkap dan mendakwa penyeludup dadah serta hidupan liar berdasarkan bidang kuasa undang-undang sedia ada adalah di bawah tanggungjawab agensi berkaitan seperti JKDM, Perhilitan, Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).”
Laluan penyeludupan
Penerbangan ke Port Blair yang digunakan oleh penyeludup siamang yang didakwa itu dikendalikan oleh AirAsia.
Malaysiakini telah menghubungi AirAsia untuk mendapatkan komen.
Dua kes terbaru ini sebahagian rangkaian insiden penyeludupan yang melibatkan penumpang penerbangan dari KLIA ke lapangan terbang di India.
Pada Oktober lalu, seorang wanita Malaysia yang terbang dari KLIA ke Chennai ditahan kerana membawa siamang dan iguana di dalam bagasinya.
Sebelum itu, Jabatan Kastam Chennai turut menggagalkan cubaan menyeludup rokok elektronik, emas, dan iPhone bernilai RM520,000 serta satu lagi kes penyeludupan hidupan liar membabitkan kira-kira 5,000 ekor kura-kura yang dibawa dalam bagasi.
Semua kes ini melibatkan penumpang yang berlepas dari KLIA.
Pihak berkuasa Chennai tidak menyatakan sama ada barangan yang diseludup itu disimpan dalam bagasi kabin atau bagasi daftar masuk.
Pada Disember, seorang penumpang yang dalam perjalanan dari KLIA ke Port Blair ditahan kerana menyeludup emas melalui pemeriksaan bagasi secara rawak. Dia sedang dalam perjalanan ke Chennai menerusi penerbangan lain.