Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pemilihan naib canselor perlu piawaian tinggi

ULASAN | Universiti bukan sekadar medan pengajaran dan pembelajaran. Lebih daripada itu, universiti adalah persada yang boleh meluruskan kebudayaan bangsa.

Sekiranya universiti tergelincir landasannya, maka tergelincir jugalah haluan masyarakatnya.

Sebab itu, setiap perubahan masyarakat bertolak dari kesedaran yang dimatangkan di universiti. Lantas, memilih kepimpinan universiti menuntut piawaian yang tinggi.

Dalam kata lain, pemilihan naib canselor setiap universiti mestilah diperhalusi sebaiknya — awal dibuat dan akhir diingat —kerana kelak mencorak citra sesebuah universiti.

Malah, pemilihan ini juga akan membezakan sama ada sesebuah universiti tersebut beracuan kebangsaan ataupun sekadar memenuhi penarafan tertentu, seperti Sistem Penilaian Prestasi Universiti (SPPU), Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA), QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE).

Menyedari kepentingan kepimpinan universiti, lebih-lebih lagi universiti bersifat kebangsaan, maka Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mestilah menunjukkan teladan dalam menampilkan acuan kebangsaan.

Sebagai universiti yang ditubuhkan berdasarkan gelora dan kehendak rakyat yang dambakan sebuah universiti watan, naib canselornya dituntut memiliki karisma dalam kepimpinan akademik.

Kini, naib canselor sebelumnya telahpun melepaskan jawatan atas alasan ingin menumpukan perkara lain seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.

Kemunasabahan alasan yang diberikan bukanlah perkara untuk diperbincangkan. Sebaliknya, lebih penting ialah untuk membahaskan sosok terbaik sebagai pemimpin kepada menara gading kebangsaan ini.

Berani lawan arus

Tentu sekali, dalam suasana ketidaktentuan ketika ini, pemilihan Naib Canselor UKM perlu dilakukan seperti menarik rambut dalam tepung. Tokoh tersebut tidak boleh dipertikaikan kepiawaiannya sesuai dengan martabat universiti kebangsaan.

Lantas, apakah piawaian tersebut?

Beberapa kriteria boleh digariskan agar menepati cogan “ilmu, mutu dan budi.” Semua kriteria yang akan dikemukakan ini jelas termanifestasi dalam kepimpinan akademiknya. Ini bermakna, tokoh tersebut dipandang yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Tokoh yang dalam kelas sebegini, mestilah berkemampuan membawa varsiti kita ke tahap tertinggi berasaskan acuan kebangsaan. Ini bermakna, tokoh tersebut mampu memimpin, merombak dan memperkenalkan gagasan baru tanpa terikat dengan penarafan popular.

Untuk tujuan ini, tokoh tersebut perlu ada keberanian untuk melawan arus, sekaligus memperkenalkan wawasan yang lebih menyeluruh. Tanggungjawab hakikinya ialah mengangkat martabat universiti sebagai jantung kepada kesedaran bangsa.

Ini bermakna, calon tersebut ada idealisme untuk menjaga kepentingan universiti agar seimbang dalam pelbagai segi, sama ada keperluan pasaran, keilmuan, advokasi mahupun profesionalisme.

Orang lama UKM

Dalam hal ini, Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin (Shamsul AB), Pengarah-Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), adalah paling memenuhi kriteria kepimpinan akademik berdasarkan rekodnya.

Mengapa beliau calon terbaik? Usulan ini adalah berpandukan beberapa hujah:

Pertama, Shamsul AB merupakan orang lama di universiti kebangsaan. Misalnya kita boleh sahaja menyebutkan bahawa seseorang itu bekerja di UKM. Tetapi Shamsul AB adalah lebih dari itu: beliau hidup dengan UKM. Sosok ini sudah menjadi father figure kepada UKM.

Berkhidmat selama 50 tahun di UKM telah meranumkannya dengan selok belok universiti. Ini sekaligus memberi kewibawaan kepadanya untuk memimpin universiti berdasarkan pengiktirafan dan penghormatan yang diterimanya.

Memang, agak aneh, selama ini beliau tidak pernah diberikan ruang untuk mencabar diri sendiri, dengan membuktikan keupayaannya dalam kapasiti yang lebih besar dari sebuah fakulti dan institut.

Justeru itu, ketidaktentuan keadaan semasa di UKM ketika ini membuka ruang untuknya keluar dari zon selesa.

Warisan keilmuan

Kedua, mungkin ada yang menyanggah bahawasanya pengalaman sahaja tidak memadai sebagai ukuran kepada kriteria pemilihan naib canselor. Akan tetapi, Shamsul AB sudahpun tercatat sebagai seorang ahli akademik dalam kelasnya yang tersendiri.

Beliau merupakan generasi kedua dalam bidang antropologi dan sosiologi di Malaysia setelah generasi Abdul Kahar Bador, Mokhzani Rahim, Syed Husin Ali dan Syed Hussein Alatas.

Khususnya Syed Husin Ali, salah seorang pengasas UKM dan ketika mendekam di penjara Kemunting bersama Anwar Ibrahim telahpun menjadi penyelianya semasa tahap pengajian sarjana di Universiti Malaya (UM).

Manakala dalam tahap Ph.D di Monash University pula, boleh dikatakan Shamsul AB merupakan generasi yang menyambung pemikiran Bronisław Malinowski (1884-1942), Raymond Firth (1901-2002) dan Michael G. Swift yang masing-masing berperanan sebagai guru-murid.

Warisan keilmuan ini menjadikannya sama seperti Syed Hussein Alatas yang menciptakan korpus ilmu mandiri, manakala Shamsul AB pula menciptakan korpus ilmu kolonial.

Syed Hussein Alatas

Hakikatnya, tidak ramai ahli akademik mutakhir yang mempunyai projek intelektual sepanjang hayat. Shamsul AB dan Syed Hussein Alatas adalah antara kekecualian. Korpus ilmu mereka ini terbentuk berdasarkan gabungan idea-idea yang diujikaji oleh mereka.

Dalam kes Shamsul AB, beberapa konsep yang berguna dalam Pengajian Malaysia dikemukakan. Ini termasuklah perbandingan antara takrifan-harian (everyday-defined) dan takrifan wewenang (authority-defined), yang menurut Ooi Kee Beng sebagai “incisive and insightful.”

Selain itu, Shamsul AB turut mengutarakan konsep bangsa idaman (nation-of-intent), perpaduan tiga serangkai (triconcept of unity), dan ketegangan yang stabil (stable-tension).

Mungkin ada yang menidakkan bahawasanya semua konsep ini bersifat lazim dan ringkas.

Akan tetapi konsep-konsep ini telahpun dihargai oleh ahli akademik dunia. Misalnya, Wang Gungwu, seorang sarjana dunia yang sepatutnya tidak perlu diperkenalkan, merumuskan seluruh kerja Shamsul AB dengan menyatakan:

“Over the years, I have again and again been struck by the way Shamsul AB turned his field into a launching pad to examine larger questions of national identity, multiculturalism and ethnic relations.”

Lantas, apakah pengiktirafan sarjana besar dalam kajian mengenai China dan Asia Tenggara ini masih belum memadai?

Begitu juga Norman G. Owen dalam The Emergence of Modern Southeast Asia yang memperbandingkan Shamsul AB dengan Ben Anderson, pengarang Imagined Communities.

Menurut sarjana Australia ini: “Nationalism and its imperative have been a potent force in the history of modern Southeast Asia. The driver and repository of anticolonial freedom movements, nationalist ideas have also been a means of determining who is within and who without what political scientist Benedict Anderson has called the ‘imagined communities’ of modern nation-states and anthropologist Shamsul A.B, their nation-of-intent.”

Persoalannya, berapa banyakkah naib canselor di Malaysia sebelum ini, apatah lagi di UKM, memiliki konsep-konsep—sama ada dari sudut keluasan mahupun kedalaman—yang disambut oleh para sarjana terkemuka dunia?

Pengalaman berdekad

Ketiga, memang benar, pengalaman dan keilmuan samata tidak menjamin seseorang itu untuk mentadbir universiti dengan cekap. Diakui bahawasanya ada perbezaan antara memiliki pengetahuan dengan menguruskan pengetahuan.

Namun, sekalipun hujah ini dikemukakan untuk menafikan kualiti yang terdapat pada Shamsul AB, maka itu juga adalah meleset. Ternyata, Shamsul AB telahpun diuji dengan deretan kedudukan dalam alam akademiknya.

Selama ini, beliau telahpun diamanahkan oleh pihak universiti dan kerajaan bagi memimpin, membina dan mereformasi satu demi satu institusi akademik di UKM. Kesannya, beliau bukan sekadar mengukuhkan institusi tersebut, bahkan turut meninggalkan kesan yang bermakna.

Sebagai catatan, Shamsul AB telahpun mendekani Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) (1997-1999), selain kemudiannya memimpin beberapa institut penyelidikan di UKM, termasuklah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) (1999-2007), Institut Kajian Oksidental (IKON) (2003-2007) dan Institut Kajian Etnik (KITA) (2007-kini).

Tidak lupa juga, pada tahun 1995, beliau turut menghasilkan kertas cadangan penubuhan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) yang sepatutnya menjadi wahana rujukan kepada Kajian Malaysia.

Kalau kita melihat dengan mata masa depan, seluruh amanah ini boleh dianggap sebagai persiapan untuknya menggalas jawatan yang lebih berat lagi.

Perlu disebutkan, tatkala di ATMA yang pada ketika itu nyaris-nyaris ditutup, beliau berjaya mengesan dan menghimpunkan bakat terbaik, yakni merupakan kualitinya yang ketara sehingga kini.

Misalnya, beliau dapat meyakinkan Syed Hussein Alatas dan James T. Collins untuk turut sama menyumbang di ATMA sebagai Felo Utama. Tanpa karismanya, sukar untuk bakat terbaik duduk bersama.

Selain itu, Shamsul AB turut meninggalkan sumbangan abadi menerusi portal Kajian Alam Melayu yang pertama di dunia. Portal ini telahpun menghimpunkan 53000 artikel, setiapnya lengkap dengan rujukan bagi membantu para penyelidik dalam kajian Alam Melayu.

Tidak hairan, kejayaannya ini mendorong National University of Singapore (NUS) menawarkan jawatan profesor yang pernah diduduki oleh Syed Hussein Alatas namun ditolaknya demi meneruskan sumbangan di UKM.

Manakala di IKON pula, sebuah projek yang diamanahkan oleh Jabatan Perdana Menteri, beliau memperkenalkan paradigma yang digemakan oleh Edward Said dalam Orientalism dengan menegaskan kepentingan mengkaji Eropah dari perspektif bukan-Eropah.

Dalam tradisi sebelumnya, Pengajian Eropah lebih tertumpu kepada perspektif dari benua tersebut. Kesendengan perspektif ini merupakan warisan penjajah yang sering mendirikan institut penyelidikan kolonial bagi mengkaji mengenai negara-negara jajahannya.

Dalam hal ini, IKON menerbalik keadaan dengan memartabatkan pespektif bukan-Eropah.

Mutakhir, Shamsul AB masih bertenaga bertindak sebagai Pengarah-Pengasas KITA yang ditubuhkan berdasarkan mandat Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan Modul Hubungan Etnik sebagai kursus wajib bagi para pelajar prasiswazah di seluruh pengajian tinggi di Malaysia.

Sehingga kini, KITA berjaya membangunkan beberapa entiti antarabangsa dan kebangsaan seperti Global Malaysian Studies Network (GMSN), Anthropotek, Kursi UNESCO dan Kursi Tun Dr. Ismail.

Malah, KITA di bawah kepimpinan akademik beliau telah menyediakan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) sebagai ukuran perpaduan nasional. Selain itu, beliau turut menggubal Dasar Perpaduan Negara (2020), Kerangka Dasar Perpaduan (2021-2023) dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (2021-2030).

Ringkasnya, semua amanah ini membuktikan bahawasanya kuapayaan pentadbirannya hakikatnya tidak pernah kalah dengan keupayaan pengalaman dan keilmuannya.

Sumbangan diperakui

Keempat, penglibatan beliau tidak terhenti pada alam akademik semata. Sebaliknya, turut melimpah kepada alam aktivisme. Tidak ramai yang mengetahui bahawasanya beliau—bersama-sama dengan rakan akademik tempatan lainnya—mendirikan Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) pada tahun 1979.

Tujuan penubuhannya ialah untuk membangunkan kepakaran, pengetahuan dan membina jaringan akademik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. Dalam usia muda ketika itu, Shamsul AB dipilih sebagai Setiausaha Kehormat pertama PSSM.

Kelima, sudah tentu, segala sumbangannya ini mestilah diakui oleh badan yang berwibawa. Jika tidak ia sekadar membakulkan diri sendiri dan bermain di air cetek.

Ini terbukti apabila beliau antaranya dianugerahkan sebagai profesor ulung (2010) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Bahkan, sumbangannya turut diakui diperingkat antarabangsa apabila menerima Fukuoka Asian Cultural Awards (2008), sekaligus menempatkannya sebaris dengan Profesor Diraja Ungku Aziz (1993), Azyumardi Azra (2014), James C. Scott (2010), Benedict Anderson (2000), Wang Gungwu (1994), Clifford Geertz (1992) dan Taufik Abdullah (1991).

Kesimpulannya, universiti merupakan gelanggang kesedaran bangsa menerusi asahan-fikiran dan asakan-tindakan. Dalam universiti, pengetahuan bukan hanya dirumus tetapi mesti dilaksanakan menepati paduan antara iman dengan ilmu sesuai dengan falsafah UKM.

Dari kacamata John Henry Newman dalam The Idea of a University, universiti didirikan bukannya untuk kepentingan sementara dan semasa, tetapi demi membudidayakan keperibadian terunggul.

Justeru itu, berdasarkan lima hujah yang dibentangkan ini, Shamsul AB sewajarnya ‘dipaksakan’ untuk menerima jawatan sebagai Naib Canselor UKM yang baru. Beliau tidak boleh lagi selesa memerhati dari tepi berdalihkan peranan sebagai penasihat sambil mengajukan calon pilihan lain.

Kini waktunya untuk mengambil risiko memimpin universiti.

Kekuatan yang dimilikinya perlu diterjemahkan ke arah menambah baik hala tuju universiti agar lebih beracuan kebangsaan tanpa menafikan keperluan pengantarabangsaan. Inisiatif model baharu ini diharapkan boleh menjadi terapan dalam penilaian universiti tempatan.

Sebagai tokoh yang tiada beban kontroversi dan skandal, amanah ini perlu diberikan kepada yang selayaknya, ibarat ayam pulang ke pautan.

Akan tetapi, jika alasan usia menjadi hambatan, maka duluan yang dilakukan oleh Profesor Osman Bakar, 78 tahun, yang kini memimpin Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) boleh menjadi hujah patahan.

Masing-masing mempunyai karisma yang setaraf, dan setiap mereka menempa nama dalam bidangnya. Pemilihan ‘orang lama’ seperti mereka pastinya dapat mengurangkan suhu politik dalam universiti lantaran profil yang dimiliki mereka.

Sudah tentu, seperti sebelumnya, Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin akan berkeras menolak amanah ini.

Namun, berbanding dengan ahli akademik lain yang melilau meminta-minta jawatan, maka tidakkah penolakannya kelak sekadar mengesahkan lagi bahawasanya Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan (2024) ini adalah orang yang setepatnya?

Jawatan mestilah diberikan kepada yang terbaik, bukan kepada yang meminta-minta.


RAMZE ENDUT merupakan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah penulis buku “Kehadiran Makna: Merumus Budaya Ingatan” dan penyunting buku “Arus Bawah: Kuasa Budaya dalam Pengalaman Malaysia.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS