Ketika DAP bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang ditunggu-tunggu, setiausaha agung parti itu, Anthony Loke, dan ketua whip DAP di Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, mengesahkan semula pakatan mereka.
Lewat malam tadi tular di media sosial gambar Nga ceria menikmati hidangan makan malam bersama Loke diiringi dengan hantaran dalam bahasa Melayu dan Cina.
Imej itu menghantar mesej politik yang jelas - dua kuasa utama parti kekal sehaluan.
Dalam hantaran itu Nga mengimbas kembali persahabatan mereka yang terjalin selama lebih 20 tahun dan bagaimana mereka berjuang bersama dalam sayap Pemuda DAP selama bertahun-tahun.
Kata Nga, walaupun peranan mereka telah berkembang mengikut masa, ikatan persabahatan di antara kedua-duanya tetap tidak tergoyahkan, dan dia terus menyokong Loke sejak Menteri Pengangkutan itu memegang jawatan sebagai setiausaha agung.
" Yang saling berubah (ialah) jawatan, yang kekal sama pula ialah persahabatan sejati dan semangat setiakawan kita berdua. Sehati, senada, sejiwa,” katanya.
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, semasa makan malam sempena Tahun Baru Cina itu, dia dan Loke mencapai kata sepakat penting – mahu berganding bahu untuk membina DAP sebagai parti berbilang kaum yang kukuh, stabil, cekap, bersih serta menjana harapan baru buat seluruh rakyat Malaysia.
“Kami juga berazam menjadikan DAP pilihan popular masyarakat berbilang kaum Malaysia.
“Kami juga bersetuju untuk cekal bagi terus membantu kerajaan perpaduan merealisasikan aspirasi Malaysia Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Era keemasan kebangkitan Malaysia kini sudah tiba, misi negara memerlukan usaha keringat setiap kita,”” katanya.
Hantaran itu mengundang limpahan sokongan melalui ruangan komen, termasuk daripada beberapa pemimpin utama DAP seperti Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching), Jenny Choy (Timbalan Speaker DUN Perak) dan Angeline Koo (Adun Keranji di Perak) yang menggunakan tanda pagar #StrongerTogether.
Pemilihan CEC DAP dijangka berlangsung pada 16 Mac ini.
Melalui sistem pemilihan parti, perwakilan akan terlebih dahulu memilih 30 ahli untuk menyertai CEC sebelum anggota badan tersebut menentukan jawatan kepimpinan utama.
Bagaimanapun, aspek yang paling diperhatikan dalam pemilihan kali ini sudah pasti nasib pengerusi kebangsaan, Lim Guan Eng.
Sejak pemilihan DAP Pulau Pinang Sept lalu, beberapa perkembangan telah menimbulkan keraguan terhadap kedudukan politik Lim sehingga mencetuskan spekulasi bahawa pengaruhnya mungkin kian berkurangan.
Sekiranya Loke dan Nga bersepakat untuk mengetepikan Lim, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli politik veteran itu boleh berdepan dengan cabaran yang sangat kuat.
