PARLIMEN | Seorang wakil rakyat PH mencadangkan portfolio Hal Ehwal Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri dibahagikan kepada Islam dan agama lain.
Chow Yu Hui (PH-Raub) merujuk kepada perwakilan yang telah dilantik untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam di pelbagai kerajaan negeri.
"Beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan telah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam.
"Maka peringkat persekutuan juga boleh mencontohi langkah ini untuk menjamin hak semua rakyat," katanya.
Pemimpin bukan Islam
Chow mencadangkan menteri kedua yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal bukan Islam boleh dilantik daripada kalangan pemimpin agama lain.
"Saya mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, satu khusus untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
"Menteri ini boleh melantik seorang pemimpin yang dihormati dalam kalangan masyarakat bukan muslim untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam," katanya.

Menurut Chow, dua menteri agama di bawah Jabatan Perdana Menteri itu boleh membincangkan isu berkaitan secara lebih berkesan serta mengelakkan sebarang kontroversi yang tidak diingini.
Pada masa ini, isu berkaitan hubungan antara agama di peringkat persekutuan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perpaduan Negara.
Pada Isnin, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang mempertahankan dirinya daripada gesaan seorang akademik agar kementeriannya ditutup atas dakwaan prestasi yang lemah.
Ini susulan kontroversi terkini berhubung cadangan garis panduan baru untuk acara melibatkan orang Islam yang diadakan di rumah ibadat bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar dalam jawapan bertulis bertarikh 4 Februari, mendedahkan kerajaan sedang merancang garis panduan baru itu.
Namun, selepas mesyuarat kabinet pada 7 Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan garis panduan tersebut tidak diperlukan.
