Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Syerleena Abdul Rashid (PH - Bukit Bendera) mengecam apa yang disifatkannya sebagai hipokrasi terang-terangan dalam patriotisme.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau mempersoalkan mengapa sesetengah rakyat Malaysia marah apabila melihat bendera asing dikibarkan, tetapi membiarkan Jalur Gemilang yang lusuh dan koyak dibiarkan tanpa sebarang tindakan.

"Jalur Gemilang yang pudar, koyak, dan dibiarkan lusuh di bawah panas matahari dan hujan. Bendera yang sepatutnya berdiri megah dengan penuh kebanggaan, sebaliknya diabaikan dalam kehinaan.

"Kita melihat bendera lama, kotor dan lusuh masih dikibarkan di luar bangunan, di sekolah-sekolah, di bangunan-bangunan kerajaan, malah pada tiang bendera di hadapan pejabat rasmi. Namun, tiada siapa yang bersuara.

"Kita lalu tanpa menghiraukannya. Seolah-olah ia perkara biasa," soalnya sambil menunjukkan sehelai bendera Malaysia yang telah usang di dalam Dewan Rakyat.

Syerleena membangkitkan kemarahan sesetengah pihak terhadap insiden kibaran bendera asing di Malaysia.

"Tiba-tiba, ada yang mengugut untuk bertindak ganas. Tiba-tiba, semua orang merasakan maruah mereka tercabar. Di mana perasaan marah itu ketika Jalur Gemilang kita diabaikan sedemikian?

"Patriotisme bukan sekadar berdiri tegak ketika lagu Negaraku dimainkan. Ia bukan hanya menyambut Merdeka setahun sekali.

"Ia bukan sekadar melaungkan "Saya Anak Malaysia" di media sosial. Ia tentang hormat dan hormat bermula dengan bagaimana kita menjaga Jalur Gemilang kita," katanya kesal.

Pada Oktober tahun lalu, beberapa pemimpin politik meluahkan kemarahan selepas tular video sekumpulan individu mengibarkan bendera China semasa pesta kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan, Perak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh antara yang mengkritik kejadian kibaran bendera China itu.

Sementara itu, Syerleena menegaskan patriotisme bermula dengan rasa hormat terhadap Jalur Gemilang.

"Saya katakan, cukup! Cukup dengan nasionalisme kosong. Cukup dengan kemarahan selektif.

"Cukup dengan memperlakukan bendera kita sebagai sekadar hiasan.

“Jika kita tidak boleh menghormati bendera kita sendiri, maka apakah yang sebenarnya kita perjuangkan," soal Syerleena lagi.

Daftar pelarian

Dalam isu berasingan, Syerleena, yang juga Pengerusi Kumpulan Parlimen Rentas Parti-parti Politik Malaysia untuk polisi pelarian, menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pendaftaran pelarian dan pencari suaka dengan memberikan akses kepada UNHCR membantu pemprosesan dan penempatan semula.

"Ini bukan sahaja tindakan berperikemanusiaan, tetapi juga satu langkah strategik untuk mengurus sumber negara dengan lebih baik.

"Namun, kita mesti jelas—Kepentingan rakyat Malaysia harus diutamakan. Kita perlu memastikan sumber negara digunakan secara bijak agar rakyat tidak terbeban," katanya.

Pada tahun 2023, Syerleena pernah menyeru supaya dasar menjenayahkan pelarian dihentikan dan digantikan dengan dasar melindungi mereka, sekali gus membolehkan komuniti ini menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Selain itu, Syerleena turut mempersoalkan komitmen kerajaan dalam mempromosikan pemuliharaan hidupan liar sebagai produk pelancongan utama.

Katanya populasi hidupan liar di Malaysia semakin merosot, termasuk spesies yang hampir pupus seperti Harimau Malaya, Gajah Pygmy Borneo, Badak Sumatera, Orang Utan Borneo dan Sumatera, serta Penyu Karah (Hawksbill Turtle).

"Sejauh manakah Kementerian serius dalam mempromosikan konservasi hidupan liar sebagai produk pelancongan utama?

"Bagaimana kita dapat memastikan bahawa dalam 10 tahun, pelancong tidak hanya melawat muzium untuk melihat apa yang telah kita kehilangan," soal ahli parlimen itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS