Paling Popular
Terkini

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) telah dipukul di Penjara Sungai Buloh.

Dia mengulas laporan isteri salah seorang tahanan telah membuat aduan polis mendakwa suaminya diserang.

"Semalam berita ini tular dan saya juga menerima banyak pertanyaan. Langkah pertama saya, segera menghubungi ketua pengarah Jabatan Penjara Negara untuk segera membuat peperiksaan dan kembali melaporkan kepada saya.

"Saya telah menerima laporan penuh itu dan insiden memukul itu tak berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya, hari ini.

Gambar fail, keluarga tahanan Sosma berhimpun.

Namun, Saifuddin berjanji pihak polis akan tetap menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

"Isterinya mengatakan ada kejadian itu, dia dah buat laporan, kita tak ada apa yang nak sembunyikan. Kalau laporan polis dah dibuat, tugas polis adalah menjalankan siasatan," kata menteri.

Bagaimanapun menurut Saifuddin, laporan yang diterima menyatakan tahanan tersebut sebenarnya mengalami kelemahan fizikal akibat mogok lapar bukan akibat dipukul.

"Dalam maklum balas yang saya terima, yang berlaku adalah insiden mogok oleh tahanan. Bila mogok berhari-hari tak ambil makanan, tak minum, badan pun lemah, dan bila dibawa ke hospital menggunakan kerusi roda," katanya.

Gambar fail, keluarga tahanan Sosma berhimpun.

Isteri tahanan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh pada jam 9.15 malam semalam, mendakwa suaminya telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak upaya, dipercayai akibat diserang.

"Apabila tiba pada pukul 5.15 petang, saya telah meminta untuk berjumpa suami tetapi ditolak.

"Saya bimbang keselamatan suami saya dan saya membuat laporan ini berdasarkan nasihat daripada peguam suami saya, yang turut hadir di hospital," katanya pada laporan polis.

Sementara itu, peguam Gurmukh Singh Sandhu, yang tiba di hospital pada kira-kira jam 7.30 malam, berkata dia melihat anak guamnya dalam keadaan berkerusi roda.

Dia turut mendakwa pegawai penjara enggan berkongsi maklumat mengenai insiden tersebut.

Kes keluarga tahanan Sosma ‘demo’ ditutup

Dalam perkembangan lain, Saifuddin turut memaklumkan siasatan ke atas keluarga tahanan Sosma yang berhimpun dan melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh pada 8 Februari telah ditutup tanpa tindakan lanjut.

"Mogok dilakukan keluarga di luar itu juga melibatkan kertas siasatan.

"Tadi, saya memberikan laporan penuh kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim), terhadap kertas siasatan itu pun semuanya di NFA (tiada tindakan lanjutan)," maklum menteri dalam negeri lagi.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan terhadap perhimpunan ahli keluarga tahanan yang tidak memberikan notis perhimpunan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Mohd Hafiz Mohammad Nor berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan penganjur boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Bagaimanapun, perhimpunan tersebut sebenarnya bertujuan untuk mendesak kerajaan membenarkan keluarga melawat tahanan serta memeriksa keadaan mereka, yang turut melancarkan mogok lapar di dalam penjara.

Menurut wakil kumpulan tersebut, M Logesvaran, 49, yang abangnya merupakan salah seorang daripada 32 tahanan, mereka dimaklumkan lawatan keluarga ke penjara pada hujung minggu ini telah dibatalkan.

"Apabila saya datang ke penjara pagi ini, seorang pegawai memberitahu saya bahawa tahanan Sosma telah melancarkan mogok lapar atau apa yang mereka sebut sebagai ‘tahan lapar’," katanya.

Kumpulan ini turut mendapat bantuan daripada pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, yang menuntut kerajaan membebaskan tahanan dengan jaminan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS