Seorang lagi ahli politik melihat isu kewajaran mewujudkan portfolio menteri untuk hal-ehwal agama bukan Islam perlu dilihat kepada Kementerian Perpaduan Negara sebagai jawapannya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, berkata aspek perpaduan rakyat dan negara sangat penting untuk mana-mana kerajaan dan pihak berkuasa akan sentiasa memastikan ia stabil.
Bagaimanapun, kata Lee, dia melihat pendekatan yang diambil oleh kerajaan adalah pasif dan kurang responsif.
“Justeru Kementerian Perpaduan Negara perlu menjadi lebih kompeten dan memainkan peranan utama serta bertindak secara proaktif.
“Melalui penubuhan jawatankuasa rentas kaum, agama dan sempadan, banyak isu berbangkit dapat diselesaikan, bahkan persefahaman dan perpaduan rakyat juga dapat diperkukuhka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee yang juga Pengarah Komunikasi PKR Nasional mengulas cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, yang menyarankan wujud dua menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan masing-masing mengendalikan hal-ehwal agama Islam dan bukan Islam.
Kata Chow, dengan langkah itu banyak isu dapat dibincangkan dengan lebih berkesan selain dapat mengelak kontroversi ketikka perpaduan negara kini dilihat semakin rapuh.
Semalam Umno menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut dan menganggap Kementerian Perpaduan Negara perlu menjalankan fungsinya bagi menangani isu kerapuhan perpaduan.
"Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri perpaduan yang patut jalankan kerja," katanya Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Ada bukti kukuh
Sebagai reaksi segera, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang semalam dilaporkan berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk membantu menyelaraskan isu-isu berkaitan agama supaya keharmonian negara terus terjamin dan terpelihara.
Menerusi ciapan di laman X semalam, dia berkata kementerian juga telah melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan keharmonian antara pelbagai penganut agama.
Antaranya, melalui penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni).
“Di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional terdapat Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama,” katanya.

Lee berkata, memang tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan baru bagi mengelola urusan agama selain Islam.
“Kerajaan Madani giat mengurangkan saiz kabinet. Sebelum ini, jumlah menteri dan timbalan menteri telah dikurangkan daripada 70 orang kepada 60 orang.
“Penambahan anggota kabinet akan menghantar isyarat negatif bahawa kerajaan tidak serius menurunkan defisit kerajaan yang dilambak sejak kerajaan terdahulu,” katanya.
Dia juga berpendapat perbincangan berkaitan urusan antara agama akan menambah beban dalam mesyuarat kabinet dan ia perlu bersaing dengan isu kritikal lain seperti peningkatan gaji dan ekonomi rakyat, keselamatan negara dan pelaburan.
Tambahan pula, kata Lee, jutaan rakyat negara ini memang mampu hidup secara harmoni di sebalik beberapa kali pertukaran kerajaan.
“Ini adalah bukti utuh bahawa sebenarnya kebijaksanaan rakyat untuk saling hormat menghormati adalah tinggi serta semuanya berbangga dengan tradisi masing-masing,” katanya.
