Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu akan diperincikan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail di parlimen minggu depan.
Katanya, kabinet secara prinsipnya telah bersetuju untuk menambahbaik beberapa perkara dalam akta kontroversi itu.
"Perdana menteri telah meminta supaya Sosma diteliti dan disemak semula.
"Insya-Allah minggu depan menteri akan tampil di parlimen untuk memberi kenyataan mengenai perkara ini," katanya dalam sidang media pasca Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata semakan terhadap Sosma dibuat susulan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) yang diumumkan di Dewan Rakyat, semalam.
Dua hari lalu, bekas ahli parlimen PH berpandangan sudah tiba masanya kerajaan menghapuskan Sosma.
Gesaan itu timbul susulan tindakan pihak berkuasa menyiasat Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah, berkaitan protes yang berlangsung pada 11 Februari lalu di pejabat KDN Putrajaya.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh bekas ahli parlimen PH, mereka menegaskan kerajaan perlu mengkaji semula Sosma secara adil dan menilai semula keperluannya.
Sementara itu, Fahmi tidak menafikan cadangan supaya Sosma diteliti terkait dengan beberapa isu yang berlaku sebelum ini termasuk tindakan mogok lapar yang dilakukan oleh tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh.
"Sudah pasti antara lain apa yang berlaku baru-baru ini dan dari semasa ke semasa (kerajaan) meneliti undang-undang, jika ada yang perlu ditambah baik," katanya lagi.
Sebelum ini keluarga tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh mendakwa ahli keluarga mereka dipukul ketika dalam tahanan.
Ahli keluarga tahanan terbabit turut melancarkan mogok lapar di hadapan kompleks penjara tersebut pada 8 Feb lalu.
Bagaimanapun Saifuddin semalam menafikan dakwaan yang dibangkitkan oleh salah seorang isteri tahanan di penjara berkenaan.
