Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan: Sarawak ada Air Borneo, Sabah ada 'skandal Borneo'
Diterbitkan:  Feb 14, 2025 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun, membandingkan pencapaian kerajaan negeri Sarawak dengan dakwaan skandal rasuah membabitkan kerajaan negeri Sabah.

Dalam satu kenyataan, Terence berkata Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia memiliki syarikat penerbangan sendiri dan telah mengumumkan nama syarikat itu sebagai Air Borneo.

"Kerajaan GPS Sarawak mencipta detik bersejarah dengan berjaya memilik syarikat penerbangan sendiri, satu pencapaian yang amat bermakna kepada masyarakat Sarawak.

"Semalam Sarawak secara rasmi mengumumkan nama syarikat penerbangan barunya “Air Borneo” yang amat membanggakan, namun Sabah turut perkenal “Skandal Rasuah Borneo” yang amat memalukan,” katanya.

Pada Rabu lalu, kerajaam Sarawak secara rasmi mengambil alih MASwings Sdn Bhd daripada Malaysia Aviation Group (MAG).

Syarikat penerbangan itu dinamakan sebagai Air Borneo dengan pemindahan hak milik dijangka selesai pada akhir tahun 2025.

Sebaliknya, Terrence secara menyindir kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mencipta "pencapaian bersejarah" dengan "Skandal Rasuah Borneo".

"Kegagalan Kerajaan GRS Sabah turut mencipta detik bersejarah dengan seramai 18 Adun terlibat dalam skandal rasuah yang terbesar dalam sejarah Sabah, satu kegiatan yang amat menghina kepada masyarakat Sabah," sindirnya.

Terrence mengulas kenyataan ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang menyatakan siasatan terhadap skandal itu terhalang kerana kekurangan maklumat.

‘Terlalu sedikit’

Semalam, Azam dilaporkan berkata pemberi maklumat yang mendedahkan video kepada Malaysiakini masih enggan menyerahkan rakaman tersebut kepada SPRM.

"Apa yang disiarkan (di Malaysiakini) adalah 'terlalu sedikit'," katanya.

Kenyataan Azam menerima kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk timbalan presiden Warisan, Darell Leiking, yang menyifatkannya sebagai "tidak masuk akal,".

Ahli parlimen DAP, Ramkarpal Singh turut menyifatkan alasan Azam sebagai “tidak masuk akal,” manakala timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata terdapat banyak bukti yang mencukupi untuk dijadikan siri Netflix.

Sebelum ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata video tersebut menunjukkan “bukti jelas” berlaku rasuah dan memenuhi definisi “suapan” di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

Sejak November lalu, Malaysiakini telah menyiarkan lapan video dan tangkap layar WhatsApp berkaitan kes itu.

Pemberi maklumat juga mendakwa memiliki banyak lagi video dan bukti.

Pemberi maklumat berkenaan yang merupakan seorang ahli perniagaan, mendakwa video tersebut merakam perbincangan mengenai rasuah yang ditawarkannya kepada beberapa Adun sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.

Semasa perbincangan itu, beberapa Adun, termasuk yang memegang portfolio kanan, turut mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dalam dakwaan pengagihan lesen sebagai "hadiah" untuk mendapatkan sokongan semasa krisis politik yang berlaku di negeri itu pada tahun 2022.

Hajiji menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha untuk mencemarkan imej pentadbirannya, selain menuduh pemberi maklumat tersebut berpakat dengan pihak tertentu yang memiliki kepentingan.

SPRM juga menyiasat dakwaan bahawa ahli perniagaan tersebut adalah sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di negeri itu dan terlibat dalam kegiatan penipuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS