PH Selangor berpendapat bunga-bunga perpecahan dalam PN semakin jelas dilihat berdasarkan kepada beberapa perkembangan semasa yang melibatkan parti komponen gabungan tersebut.
Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi, berkata petanda jelas mula dapat dikesan apabila Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, melepaskan jawatan sebagai bendahari pada 11 Dis tahun lalu.
Kemudian, katanya, ia diikuti dengan sambutan dingin PAS terhadap lontaran pandangan Setiausaha Agung PN, Azmin Ali, yang menjangkakan PRU berlangsung pada hujung tahun ini.
Dakwa Abbas, pelantikan Azmin mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Agung PN - ketika ia diingini oleh PAS - memang mengundang perpecahan dalam blok tersebut.
"Jika dilihat di media sosial, penggerak PN khususnya pempengaruh dan laskar siber mereka mula bercakaran secara terbuka.
"Ini menunjukkan betapa perpecahan dalam kalangan penggerak media PN semakin teruk dan ia merupakan kesan daripada pergolakkan dalaman PN itu sendiri.
"Mereka saling membuka aib antara satu sama lain," dakwa Abbas.
Tahun lalu isu pelantikan pemimpin bagi menggantikan Hamzah Zainudin sebagai Setiausaha Agung PN menarik perhatian ramai apabila PAS - melalu pemudanya - menghantar isyarat agar pemimpin parti itu seperti Takiyuddin Hassan dipilih.
Tak mungkin dikotakan
Antara lain, kata Pemuda PAS, Takiyuddin lebih berpengalaman berbanding pemimpin Bersatu.
Bagaimanapun PN kemudian mengumumkan bahawa Azmin - bekas Timbalan Presiden PKR - dipersetujui menggantikan Hamzah yang dipilih ahli Bersatu menjadi timbalan presiden mereka.
Beberapa hari kemudian Ahmad Samsuri membuat kejutan dengan melepaskan jawatan sebagai bendahari. Dia yang juga Ahli Parlimen Kemaman memberi alasan, langkah tersebut dibuat sebagai usaha mengukuhkan PN.
Ekoran pengumuman mengejut itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengadakan sidang media dan meminta agar PAS bersabar serta tidak "membakar kelambu" kerana "marahkan nyamuk".

Untuk rekod pada 20 Jan lalu PAS memaklumkan secara terbuka parti itu sedia mengemukakan cadangan kepada PN nama yang dirasakan sesuai menggantikan Ahmad Samsuri.
Bagaimanapun setakat ini tawaran tersebut belum disambut mana-mana pihak dalam PN.
Abbas berkata satu lagi parti komponen PN, Gerakan, turut dilihat mengambil langkah menongkah arus dengan rakan mereka terutama apabila melibatkan kepentingan di antara Melayu dan bukan Melayu.
Perbezaan pandangan dan gerak tersebut, kata Adun Seri Serdang itu lagi, menunjukkan bahawa politik dalaman PN benar-benar tidak stabil.
"PAS dan Bersatu ghairah mahu merebut sokongan orang Melayu dengan isu-isu yang selalunya ekstrem (namun) sangat tidak menyenangkan Gerakan," katanya.
Selain itu dakwa Abbas, cubaan Azmin memujuk orang bukan Melayu agar memberikan sokongan kepada PN tidak lebih daripada umpan untuk membolehkan parti tersebut mendapat kepercayaan ramai.
"Melihat kepada situasi semasa dalam PN, tidak mungkin apa yang ditawarkan oleh PN melalui Azmin boleh dikotakan," katanya.
