Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin rayu Cina beri PN tadbir Selangor - ‘kita penyelamat, beri penyelesaian’
Diterbitkan:  Feb 17, 2025 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Dalam usaha untuk memikat sokongan masyarakat Cina, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Ia sebagai menunjukkan sokongan PN kepada pemilik perniagaan Cina, di sebalik hakikat bahawa FMM adalah sebuah organisasi yang terbuka kepada semua kaum.

Azmin yang juga pengerusi PN Selangor menggesa masyarakat Cina khususnya di Selangor memberi peluang kepada PN mentadbir negeri itu dan memulihkan ekonomi.

Dia mendakwa, negara pada masa kini banyak bergantung dengan tenaga pekerja asing menyebabkan produktiviti menurun dan tiada sebarang peluang baharu.

"Dua hari lalu Pengerusi PN bertemu dengan pengusaha dan industri dalam kalangan masyarakat Cina dipimpin Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai.

"Dalam dialog tersebut beliau secara terbuka menyatakan PN dan Muhyiddin Yassin telah menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika Covid-19 dengan pakej rangsangan ekonomi yang menyelamatkan ratusan ribu syarikat di Selangor dan negara.

"Kita menjadi penyelamat dan memberi jalan penyelesaian. Saya berdiri di depan ini dan merayu kepada masyarakat Cina di seluruh Selangor, beri peluang kepada PN untuk selamatkan ekonomi dan cipta satu pertumbuhan yang lebih terjamin untuk masa depan Selangor," katanya.

Dia berkata demikian pada  Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baru Cina 2025 di Restoran Palm Grove di Klang, seperti dilaporkan Sinar Harian.

Walaupun presiden FMM sekarang berketurunan Cina Malaysia, manun keahlian persekutuan itu tidak mengehadkan keahliannya kepada satu-satu kaum. Sebaliknya, ahli terdiri dari pelbagai latar belakang etnik.

Dalam acara malam tadi, Azmin turut mendakwa ramai pelabur asing yang tidak lagi yakin dengan Malaysia selepas ia di bawah pentadbiran kerajaan madani.

"PN bukan parti sempit. Kita mahu menggunakan platform PN untuk membantu rakyat di Selangor.

"Kita lihat masalah ekonomi begitu parah yang mana kebanyakan peniaga sama ada di Selangor atau seluruh negara ini mahu peluang baharu, dasar pelaburan yang 'business friendly' dan sistem yang adil, efisien serta efektif.

"Tetap kerajaan madani adalah kerajaan gagal. Lihat saja ekonomi, ramai pelabur asing tidak yakin dengan Malaysia," kata ketua pembangkang Selangor itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS